Halid Harun tanding Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu

MEJ (KR) HALID HARUN 

LAHAD DATU: Pemangku Ketua Bahagian UMNO Silam, Mejar (KR) Halid Harun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu dalam persidangan UMNO Bahagian Lahad Datu pada 18 Mac ini.

Halid yang berkecimpung hampir 30 tahun dalam UMNO berdepan saingan daripada 5 calon lain untuk merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu.

Bagaimanapun, Halid, seorang ahli perniagaan memiliki kelebihan kerana memangku jawatan Ketua Bahagian selepas pemimpin lain beralih arah ke parti lain.

Menurutnya, ketika UMNO menempuh jalan gelap dan berliku  dan mengalami zaman kejatuhan, beliau membuktikan keteguhan pendirian, tidak tergoncang oleh badai politik dan kekal setia bersama parti dalam setiap episod suka dan duka.

“Waktu gemilangnya parti, saya berkhidmat penuh taat, saat kelamnya parti saya masih setia berkhidmat tanpa khianat,” katanya.

“Alhamdulillah dengan kudrat yang ada, keikhlasan dan semangat  juang yang tinggi , saya tetap berdiri dan terus mempertahankan parti keramat UMNO ini,   memimpin dan menghidupkan roh perjuangan parti bersama rakan-rakan seperjuangan yang ikhlas sehidup semati,” tambahnya.

Beliau berikrar akan terus teguh bersama dan setia selamanya demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

Halid berharap dapat  meneruskan khidmat penuh setia sehingga segala Misi dan Visi untuk kemaslahatan rakyat tercapai.

Dalam kepimpinan UMNO Bahagian, Halid bermula sebagai  AJK Pergerkan Pemuda Umno Silam, AJK Bahagian Umno Silam, Timbalan  Ketua Bahagian dan seterusnya memangku Ketua Bahagian Silam @ Lahad Datu pada ketika ini.

Beliau  berada dalam saf pimpinan   UMNO Bahagian Silam ketika  era kepimpinan Datuk Haji Railey Haji Jeffry, Datuk Yusuf Amat Jamle,  Datuk Haji  Nasrun Datu Mansur, Datuk Samsu Baharun dan  Dato Yusuf Haji Afdal sebelum beliau memikul amanah sebagai pemangku Ketua Bahagian.

Bagaimanapun, selepas BN kehilangan kuasa dalam PRU18, pengaruh dan sokongan terhadap parti itu merudum.

“Ramai pemimpin besar di peringkat pusat, negeri dan pimpinan akar umbi beralih arah, berhijrah dan meninggalkan perjuangan parti keramat termasuklah di bahagian Silam @ Lahad Datu, “ katanya.

Namun berkat perjuangan pimpinan yang ada pada parti keramat ini, hari ini umno mendapat sambutan yang luar biasa di seluruh kawasan amnya dan buktinya ramai pemimpin  yang bertanding dalam pemilihan di peringkat bahagian.

Perkembangan ini sangat positif dan baik , kata Halid, seorang ahli perniagaan yang  berasal dari bahagian itu, ayahnya berasal dari  Tungku Lahad Datu manakala ibunya berasal dari Kunak.

Beliau merayu kepada ahli-ahli UMNO di bahagian itu untuk memberi peluang kepadanya untuk memimpin UMNO Bahagian Lahad Datu bagi sesi 2023-2026.

“Marilah kita bersama  kembalikan zaman kegemilangan UMNO sebagai sebuah parti yang hebat, dikagumi oleh rakan rakan dan digeruni pihak lawan. Marilah kita  memperbaiki kelemahan dan kesilapan, elakkan perpecahan dan kukuhkan silaturrahim antara kita,” katanya.

Sebelum ini, Halid yang mengetuai UMNO 2018-2022 menyifatkan tempoh itu sangat mencabar, tidak banyak yang dapat dilakukan kerana kekangan dan halangan akibat pandemik Covid 19.

Walaupun begitu, Halid berkata di sebalik kekangan itu, pihaknya masih berupaya memberi bantuan kebaikan, bakul makanan, perubatan dan kebaikan dan ini meyakinkan golongan akar umbi untuk kembali bersama menyokong parti.

“Saya memohon budibaik seluruh perwakilan agar memberikan saya peluang dan sokongan bagi meneruskan agenda perjuangan bangsa, agama dalam parti keramat ini,” katanya.

scroll to top