Ibu Bapa Kandung Kanak-Kanak Lelaki Dicari

DITINGGALKAN: Ibu bapa kandung kepada Khalifah diminta tampil untuk membantu urusan berkaitan kanak-kanak berkenaan.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN: Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Sandakan sedang mengesan ibu bapa kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun 7 bulan, yang merupakan mangsa pengabaian.

Pelindung Bahagian Sandakan Nurhafiza Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki bernama Khalifah Muzhafar.

Kanak-kanak berkenaan dilahirkan pada 10 Mei 2011 adalah mangsa pengabaian setelah dirujuk oleh pengadu iaitu Hatta Yunus dan Fatmah Sahak pada 30 Disember 2021 kepada pihak pelindung.

Menurutnya, dalam laporan polis dibuat oleh pengadu bertarikh 30 Disember 2021, beliau melaporkan kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sejak 2011 dan ibu bapa kandungnya dimaklumkan telah pulang ke Filipina dan gagal dihubungi sehingga sekarang.

“Kes ini sedang diambil tindakan dibawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016),” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa kandung kanak-kanak ini tampil untuk membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan kanak-kanak berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Nurhafiza di pejabatnya melalui talian 089-668494/667821.

scroll to top