Individu kibar bendera parti di stadium akan disiasat

ANTARA gambar viral penyokong mengibarkan bendera parti politik ketika aksi perlawanan antara Sabah FC menentang Melaka United di Stadium Likas pada Ahad lepas.

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Sabah FC akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti individu atau kumpulan yang mengibarkan bendera parti politik semasa perlawanan Liga Super di Stadium Likas, baru-baru ini.

Isu berkenaan hangat diperkatakan selepas beberapa gambar yang memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera parti politik tular di media sosial.

JELANI HAMDAN

Setiausaha Agung SAFA merangkap Pengarah Sabah FC Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, tindakan membawa bendera parti politik dalam mana-mana perlawanan bola sepak adalah satu kesalahan dan melanggar undang-undang.

Katanya, pihak Sabah FC juga boleh dikenakan tindakan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“SAFA dan Sabah FC memandang serius kesalahan ini dan kita sudah menjalankan siasatan awal bagi mengenalpasti kesahihan gambar-gambar yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Adalah tidak adil untuk kita menuduh mana-mana pihak atau parti. Oleh itu, siasatan terperinci dan mendalam perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Jelani berkata, semua pihak seharusnya bekerjasama dan menjadikan stadium sebagai tempat kondusif untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang.

“Saya juga ingin menasihatkan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak supaya tidak membawa barang dilarang termasuk bendera parti politik atau berunsur hasutan dan sebagainya.

“Stadium adalah tempat bersukan dan bukannya untuk berpolitik. Kita tidak akan teragak-agak untuk menghalang mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini dari memasuki stadium di masa akan datang,” katanya.-Sumber ATP

scroll to top