Jangan Jadikan CSR Sebagai Satu Konsep Bermusim – Bung Moktar

SAMPAIKAN SUMBANGAN ... Bung Moktar menyampaikan Sumbangan Ceria Ke Sekolah TNB/SESB kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Haji Mohd Hamsan Awang Supain (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah SESB Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid (kanan)

Oleh YUSOP TEPPO

KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tidak sepatutnya dilihat sebagai satu konsep bermusim dan tidak terhad kepada sumbangan kemanusiaan berbentuk wang ringgit dan harta benda tetapi merangkumi sumbangan masa serta tenaga.

“Dalam kita berlumba-lumba melaksanakan pembangunan untuk negara dan negeri, kita jangan lupa masyarakat di sekeliling kerana masih ada lagi saudara kita dan golongan terpinggir hidup dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita semua,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata keikhlasan itu perkara paling afdal membantu golongan memerlukan.

“Ia seharusnya dilaksana secara istiqamah bukannya secara bermusim,” tegasnya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah TNB/SESB Peringkat Kinabatangan Parlimen P.187 Kinabatangan, Sumbangan Program Sekolah Angkat SESB Dan Perasmian Stesen Janakuasa Balat, di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada Jumaat.

Di pihak Kerajaan Negeri, Bung Moktar berkata kita amat mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri itu.

“Komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan di seluruh negeri.

“Kita memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini juga menjelaskan menerusi program Ceria ke Sekolah ini, pelajar-pelajar daripada kumpulan B40 yang berkelayakan akan menerima set persekolahan iaitu beg sekolah dan alat tulis serta wang saku berjumlah RM50 setiap pelajar.

“Pelajar berkenaan dipilih daripada sekolah-sekolah yang berada di daerah Kinabatangan ini. Untuk program di Kinabatangan ini, difahamkan seramai 300 pelajar daripada sekolah rendah dan menengah dipilih untuk menerima sumbangan daripada pihak TNB/SESB,” katanya.

TAHNIAH… Bung Moktar menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pemenang STEM Peringkat Negeri Sabah

Bung Moktar yakin langkah TNB/SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ akan memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak untuk mempersiapkan diri dalam pembelajaran di sekolah.

Beliau percaya bahawa program Tanggungjawab Sosial Korporat ini dapat membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum.

“Melalui program seumpama ini juga, dapat mengeratkan lagi hubungan syarikat-syarikat korporat dengan masyarakat setempat. Secara langsung usaha seumpama ini dapat membantu meringankan beban kewangan golongan sasaran.

Katanya, program ini bukan sahaja merapatkan hubungan silaturahim dan hubungan sesama kita tetapi dapat meningkatkan amalan melalui bersedekah.

“Semoga apa yang kita sumbangkan itu mendapat ganjaran dari Allah dan memberi manfaat kepada anak-anak yang menerima sumbangan berkenaan,” katanya.

Bung Moktar merakamkan terima kasih kepada pihak TNB dan SESB atas pemberian sumbangan kepada anak-anak Kawasan Parlimen Kinabatangan ini yang disifatkannya, pemilihan SK Kuamut sebagai sekolah angkat SESB seterusnya membantu mempercepatkan penjanaan bekalan elektrik di Kampung Balat Kinabatangan.

Beliau turut mengingatkan adik-adik yang akan menerima sumbangan agar belajar lah rajin-rajin kerana adik-adik merupakan barisan pemimpin negara pada masa akan datang.

“Jadikan lah pemberian ikhlas ini sebagai suntikan semangat untuk berusaha dengan cemerlang dalam pelajaran dan guna wang saku yang diberikan untuk membeli barangan keperluan yang berfaedah,” katanya.

scroll to top