JKDM berjaya rampas 52.463 kilogram dadah

RAMPASAN ... Zazuli pada sidang media di Menara JKDM Sabah, di sini, kelmarin.

KOTA KINABALU: Satu sindiket penyeludupan dadah berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, selepas merampas 52.463 kilogram dadah jenis methampetamine, 28 Julai lalu.

Dalam operasi jam 12.12 tengah hari itu, semua dadah yang dianggarkan bernilai RM1.888 juta itu dirampas hasil serbuan ke sebuah rumah di ibu negeri ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV 2022, yang dijalankan atas maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah yang diserbu sebagai lokasi untuk proses pembungkusan dadah.

“Semua dadah berkenaan dimasukkan ke dalam plastik teh sebelum melalui proses kedap udara dengan jumlah berat tertentu.

“Ia kemudiannya disembunyikan di dalam kotak peralatan elektrik dapur dipercayai bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara JKDM Sabah, di sini, kelmarin.

Zazuli berkata, siasatan turut mendapati semua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran penagih tempatan dan luar negeri.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JKDM Sabah amat komited dalam menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dadah,” katanya.

Sementara itu, Zazuli berkata, orang ramai digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dalam aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

scroll to top