Kanak-kanak enam tahun rentung

ANGGOTA Bomba menemukan mayat mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah berkenaan.

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak maut manakala lima ahli keluarga termasuk kedua-dua ibu bapanya cedera selepas rumah mereka di Kampung Perpaduan, di sini, terbakar, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang maut, Mohd Adlinsyah Mohd Adsni, 6, dipercayai terperangkap selepas gagal keluar dalam rumah berkenaan.

Manakala lima lagi mangsa membabitkan ibu bapa, dua abang serta adik mangsa yang berusia tiga hingga 43 tahun turut mengalami kecederaan melecur sehingga 70 peratus keseluruhan badan.

Difahamkan, dua lagi ahli keluarga mangsa membabitkan seorang kanak-kanak tiga tahun dan wanita warga emas berusia 77 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam.

Katanya, seramai enam pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan api kebakaran.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 185 meter persegi yang musnah terbakar 100 peratus.

“Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, sebuah motosikal Honda EX5 turut terbakar sepenuhnya manakala sebuah kenderaan Isuzu Dmax berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari jentera.

Katanya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 pagi.

“Semua mangsa cedera terus dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kinabatangan,” katanya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bahagian Forensik JBPM bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.

scroll to top