Kastam Sabah rampas 6.163 kilogram syabu bernilai lebih RM220,000

LAHAD DATU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas 6.163 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM220,000, di sini dan di  Tawau, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, berkata di Lahad Datu, pihaknya merampas 3.083kg syabu dianggarkan bernilai RM 111,006 serta menahan dua lelaki tempatan berumur 23 dan 24 tahun.

“Pihak Kastam melakukan serbuan dan cuba menahan kenderaan dinaiki dua suspek terbabit pada 5 Jan lalu di hadapan kedai di Jalan Silabukan, di sini, namun kenderaan suspek melanggar kenderaan anggota penguat kuasa bagi melarikan diri.

“Ekoran itu pasukan serbuan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek sebelum dua lelaki berkenaan berjaya ditahan di Kampung Layung,” katanya, pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di Tawau, Mohd Nasir berkata pihaknya merampas 3.08kg syabu bernilai RM110,880 disimpan di dalam sebuah kotak di terminal pusat kiriman dan penerimaan barang di sana, pada 12 Jan lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dilakukan dan kes masih dalam siasatan serta pihaknya giat mengesan pemilik dadah berkenaan.

“Modus operandi suspek adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu di slip pos seperti alamat tidak wujud selain perniagaan tidak aktif,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat membabitkan sebarang aktiviti penyeludupan termasuk rokok dan minuman keras dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1800888855 atau pejabat JKDM yang berdekatan.-BERNAMA.

scroll to top