Lapan PATI ditahan masuk secara haram selepas pulang beraya di negara asal

TAHAN ... Lapan PATI yang ditahan dalam operasi itu.

TAWAU: Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF) dalam operasi di Kampung Titingan, di sini.

Dalam serbuan jam 4.15 petang itu, semua PATI yang berjaya ditahan itu berusia lingkungan dua hingga 40 tahun.

Kumpulan PATI terbabit mengaku berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah untuk kembali bekerja selepas bercuti melawat keluarga di negara jiran berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bahagian Hal Ehwal Awam, Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berkata, kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengesanan kehadiran sebuah bot laju mencurigakan yang menurunkan seramai lapan individu bersama barangan persendirian secara berkumpulan di kampung berkenaan.

Katanya, pihaknya kemudiannya mengesan kenderaan jenis teksi yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pencerobohan PATI berkenaan.

“Tim QRF kemudiannya bertindak mengekori teksi berkenaan dan mendapati semua PATI terbabit diturunkan di Jalan Chen Fook, di sini.

“Pasukan operasi terus bertindak menahan semua individu terbabit bagi melaksanakan pemeriksaan dan mendapati mereka memiliki passport dan permit kerja yang sah.

“Bagaimanapun, semua individu terbabit tidak mendapat sebarang cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah dan dipercayai memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Menurutnya, semua yang ditahan membabitkan enam lelaki, seorang wanita dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun.

Katanya, semua PATI hanya membawa barang persendirian dan tiada sebarang penemuan barang-barang terlarang.

“Semua PATI terbabit terus dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya termasuk proses saringan Covid-19.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Sehubungan itu, Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2 atas kejayaan operasi kali ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan ESSZONE Sabah.

“ATB2 sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara.

“ATB 2 juga akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,”’katanya.

Abdul Karim berkata, ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum melalui aturgerak kelengkapan berteknologi tinggi dalam mengesan sebarang pencerobohan di perairan negara.

Katanya, ia sekaligus tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

scroll to top