Lelaki Maut, Dua Cedera Kenderaan Bertembung

REMUK: Keadaan kenderaan yang remuk selepas bertembung dalam kejadian itu.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

PAPAR: Seorang lelaki maut manakala dua lagi mengalami cedera ringan selepas terbabit kemalangan dua kenderaan yang bertembung di Kampung Safoda, Jalan Papar di sini malam tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.43 malam.

Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dengan keanggotaan seramai 10 orang bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan van.

Terdapat tiga mangsa terlibat, seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala dua lagi mengalami cedera ringan.

MAUT: Anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis.

Mangsa yang tersepit dikenali sebagai Faisal Lorong, 49, disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth II menggunakan ambulans.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

Operasi ditamatkan pada jam 11,.17 malam.

scroll to top