Majlis Makan, Kenduri Kematian Cetus Dua Kluster Di Sabah

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Kegagalan penduduk di dua buah kampung di daerah Beaufort mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan aktiviti makan-makan dan kenduri kematian mencetus kluster COVID-19 di kedua-dua kampung berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Kluster Kampung Bawan dicetus seorang petugas kesihatan lelaki berusia 31 tahun dikesan positif pada 7 Okt lepas berpunca daripada aktiviti makan-makan di rumah keluarga lelaki itu.

Beliau berkata Kluster Kampung Batu 66 pula dicetus seorang wanita berusia 36 tahun dikesan positif pada 8 Okt lepas dipercayai berpunca daripada kenduri kematian mendiang bapa wanita berkenaan di kampung itu yang turut dihadiri anggota keluarga dan jiran.

“Kluster Kampung Bawan kluster tempat kerja di sebuah klinik kerajaan melibatkan 34 kes jangkitan, majoritinya ahli keluarga dan rakan sekerja kes indeks, Kluster Kampung Batu 66 pula kluster komuniti dengan 29 kes terdiri ahli keluarga dan tetamu kenduri tersebut,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata Sabah hari ini merekodkan 651 kes positif COVID-19 dengan 361 kes atau 55.45 peratus daripadanya dikesan melalui saringan kontak rapat manakala 228 kes atau 35.02 peratus melalui saringan bergejala dan selebihnya saringan lain.

Katanya, dengan jumlah kes baharu hari ini, kumulatif kes di Sabah kini sebanyak 212,329 manakala kumulatif pesakit sembuh sebanyak 201,466 orang selepas 541 lagi pesakit sembuh kelmarin.-Bernama.

scroll to top