Majlis Tautan Silaturahim pertemukan warga Tahsin Al-Qiraat

BERSAMA PEMBIMBING…Warga Tahsin Al-Qiraat bergambar bersama Ustaz Muhammad Amiri dan Ustaz Muhammad Fadhli di Masjid Ayesha.

MAJLIS Tautan Silaturahim warga Tahsin Al-Qiraat yang diadakan di Masjid Ayesha Kok Lanas Ketereh baru-baru ini berjaya mempertemukan warga Tahsin Al-Qiraat dari beberapa buah negeri.

Program yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga Tahsin Al-Qiraat mendapat sambutan yang menggalakkan.

INDAH…Warga tahsin bergambar di hadapan Masjid Lapan Kubah di Alor Lintah.

Selain meningkatkan kemahiran pembacaan al-Quran, program itu juga diadakan bagi menghargai sumbangan tenaga pengajar al-Quran.

Pada mulanya, program itu sebenarnya hanya mengumpulkan warga Tahsin Al-Qiraat yang tinggal di Kelantan. Tetapi sambutan warga Tahsin dari beberapa negeri lain seperti Terengganu, Sabah , Sarawak, Wilayah Persekutuan serta beberapa negeri lain turut memeriahkan lagi Majlis Tautan Silaturahim itu.

TAK DAPAT DILUPAKAN…Peserta bergambar di rumah Ummi Zakiah di Besut.

Program itu dicetuskan oleh Murabbiah, Che Zawiah Zakiah Che Hashim lebih dikenali sebagai Ummi, 65 tahun. Pemegang diploma kejururawatan ini menguasai pelbagai ilmu qiraat dan mendapat tauliah mengajar Quran dari Yayasan Islam Terengganu untuk mengajar Quran.

Penganjuran majlis itu pula dipengerusikan oleh Puan Hazizah binti Ali, sahabat Ummi sejak kecil dan kini menetap di Pulai Chondong. Pesara Guru Bahasa Inggeris ini turut menjadi tuan rumah kepada warga tahsin yang datang dari jauh.

Kehadiran warga Tahsin Al-Qiraat dari jauh dan dekat mampu mempertautkan ukhuwah di kalangan mereka, selain untuk membolehkan mereka mendalami ilmu al-Quran.

CERIA…Warga Tahsin Al-Qiraat mengabadikan kenangan ketika program.

Majlis Tautan Silaturahim itu tambah bermakna lagi dengan kehadiran pembimbing Al Fadhil Ustaz Muhammad Amiri Ab Ghani, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Hadith Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), pemegang sanad Qiraat Asyara Tariq asyatibiyyah dan Al Durrah.

Beliau juga memiliki Sarjana Pengajian Islam dan Sarjana Muda Usuluddin.

Seorang lagi pembimbing yang hadir ialah Al Fadhil Ustaz Muhammad Fadhli Shah Muhamad sarjana muda dalam bidang Al-Quran dan Al Qiraat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Bagaimanapun, seorang lagi pembimbing, Ustaz Izran Mohammad Saaban, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris, pengarang buku Tajwid Al-Quran berhalangan hadir pada saat-saat akhir.

SINGGAH SEBENTAR…Peserta singgah di rumah Ngaji Rehayu Online sebelum tiba ke rumah Kak Zah.

Antara acara yang diadakan ialah sesi taaruf atau perkenalan yang dipengerusikan Puan Zainora , turut diadakan ialah sesi pertukaran hadiah.

Selepas solat Zohor, acara minum petang diadakan di rumah Ummi Zakiah. Warga Tahsin Al-Qiraat juga turut dibawa melawat Masjid Ulul Albab Jerteh dan Masjid Lapan Kubah di Alor Lintah.

Majlis Tautan Silaturahim diharap dapat mempertautkan dan memperkukuhkan lagi ukhuwah dan persaudaraan di kalangan warga Tahsin al-Qiraat khususnya dalam mendalami ilmu qiraat.

scroll to top