PAS Sabah jalin perpaduan semua kaum, agama

KENANGAN... Aliakbar merakamkan album kenangan bersama pemimpin setempat dan penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru.

PUTATAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah sentiasa menjaga hubungan dengan semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr. Aliakbar Gulasan berkata PAS Sabah mengamalkan sikap menghormati budaya masyarakat lain dan tidak pernah melupakan hari kebesaran mereka.

“Malah, turut hadir bersama-sama meraikan hari kebesaran semua kaum sebagai tanda perpaduan selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.

“Selain itu, PAS Sabah juga tidak mengetepikan dan sentiasa mendekati golongan B40 dengan menyalurkan pelbagai bantuan keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program agihan bakul makanan sempena sambutan Mid Autumn Festival anjuran PAS Kawasan Putatan di rumah pangsa Tanjung Aru, baru-baru ini.

Aliakbar yang juga Setiausaha PAS negeri turut menegaskan parti itu akan terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai etnik, kaum dan agama.

“Kita perlu terus mengekalkan perpaduan serta keharmonian kaum dan agama bagi mencapai hasrat Keluarga Malaysia dan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Dalam pada itu, Aliakbar turut mengagihkan kuih bulan pada program tersebut sebagai simbolik mengekalkan tradisi sambutan.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Cina Rumah Pangsa, David Leong berkata PAS sering membantu rakyat yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum dan agama.

“Sikap perpaduan yang ditunjukkan oleh parti ini semakin disenangi dalam masyarakat setempat khususnya masyarakat Cina,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah, Isaac Wong Kah Kiet; Ketua Penerangan PAS kawasan, Zulzaim Hilmee Abidin; Ketua Pemuda kawasan, Yusrizal Anuar dan Pengerusi JKDB Rumah Pangsa, Asneh Libong.

scroll to top