KOTA KINABALU: Sudah sampai masanya pemimpin Sabah bersatu dalam satu gabungan yang padu, mengutamakan keperluan rakyat dan kurangkan berpolitik, kata peguam kanan, Datuk Haji Mohd Ainal Fattah.
Bercakap atas kapasiti sebagai peguam Bajau kelahiran Semporna yang pertama di Malaysia, Ainal berkata selepas sekian lama mengikuti perkembangan politik Sabah sejak zaman USNO, Berjaya, PBS, BN, Warisan dan kini kerajaan GRS, semua pihak perlu mengurangkan `politiking’ sebaliknya kembali bersatu untuk menjayakan Sabah Maju Jaya.
“Sepanjang perjalanan liku politik selama ini, ia menyedarkan saya untuk menyeru rakyat untuk bangkit semula dan terus menyokong dan bersama kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk membawa lebih banyak pembangunan secara holistik kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga menyeru agar rakyat memberi sokongan kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), parti yang diketuai Datuk Hajiji sebagai parti terbesar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan ia menjadi sebuah parti yang kuat dan berpengaruh, menjadi tonggak kekuatan blok Borneo.
Ainal menggesa pemimpin pemimpin Sabah belajar dari kesilapan pemimpin sebuah parti yang melaungkan partinya berjuang `Sabah untuk Sabah’ tetapi tidak konsisten kerana parti itu bertanding juga di Semenanjung dalam PRU-15 walaupun hampir kesemuanya hilang deposit.
Menurut Ainal, ia berbeza dengan matlamat perjuangan GRS yang memperjuangkan hak-hak Sabah selari dengan perjuangan blok Borneo bersama Datuk Abang Jo yang berjaya memimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.
Menurutnya, antara intisari perjuangan yang terkandung dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipelopori Datuk Hajiji ialah mempertingkatkan ekonomi untuk mensejahterakan rakyat, keharmonian dan perpaduan semua suku bangsa di negeri ini, memperkukuhkan semangat kerjasama dan kasih sayang antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan kepercayaan masing-masing.
“Kita perlu bergerak bersama, bersatu padu untuk memastikan kestabilan kerajaan agar mampu membawa pembangunan secara holistik” katanya.
Beliau juga menyeru agar kerajaan memberi fokus kepada peningkatan sumber ekonomi negeri seperti meneroka sektor minyak dan gas yang terdapat di perairan pantai di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan perlu berusaha untuk mendapatkan sumber hasil bagi memastikan kutipan hasil negeri ini sentiasa kukuh dan mampan.
Beliau juga berharap kerajaan persekutan pimpinan Perdana Meneri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keutamaan untuk mengangkat ekonomi dan memastikan infrastruktur di Sabah kalaupun tidak lebih, sekurang-kurangnya setanding dengan negeri lain di KL.
Ainal juga mahu Kerajaan mempercepatkan pembinaan Pengkalan Tentera Darat di Pantai Timur bagi menjaga kedaulatan wilayah dan perairan Sabah selain untuk menarik lebih ramai pelabur di negeri ini.