Pertukaran sembilan anggota polis dikaji semula – Acryl Sani

Acryl Sani

KOTA KINABALU: Pertukaran sembilan anggota polis yang dilaporkan terbabit dalam kes peras ugut di Selangor, akan dikaji semula.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuat sebelum ini berhubung pertukaran itu masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Katanya, polis mengambil maklum berkenaan isu yang timbul dan sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut.

“Polis akan mengkaji semula apa juga berkaitan dengan perkara berhubung pertukaran sembilan anggota polis yang terbabit kes pemerasan berkenaan.

“Apa juga maklumat berkaitan isu ini, nanti kita akan salurkan melalui Unit Komunikasi Korporat PDRM,” katanya dalam sidang media Sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), di sini, kelmarin.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, pertukaran sembilan anggota polis itu tidak terbabit perpindahan ke Sabah sebaliknya ia hanya membabitkan negeri Sarawak.

“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada maklum balas yang kami terima daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 50 perjawatan baharu akan diwujudkan dalam Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dalam usaha memperkukuhkan lagi penguatkuasaan membabitkan jenayah berkenaan.

Semua perjawatan baharu itu akan ditempatkan di bawah seliaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.

Katanya, kelulusan penambahan perjawatan yang dibuat Kerajaan Malaysia itu akan memperkukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

Katanya, ia juga sudah pasti akan memberi impak yang lebih berkesan dalam usaha memerangi jenayah-jenayah berkaitan hidupan liar.

“Penubuhan WCB ini diharap dapat membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar turut perlu diberikan perhatian serius.

“Tindakan penguatkuasaan proaktif perlu selari dengan jenayah-jenayah konvensional dan bukan konvensional lainnya,” katanya.

Acryl Sani berkata, sejak pelancaran OBK pada 3 September 2019, ia terbukti terus menghasilkan impak positif terhadap pemuliharaan flora dan fauna negara ini.

Katanya, berdasarkan statistik bermula Januari sehingga Julai tahun ini, OBK merekodkan sebanyak 60 kes berbanding 30 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Begitu juga dengan jumlah tangkapan yang meningkat dari 29 orang bagi tahun 2021 kepada 97 orang tahun ini.

“Bagi jumlah rampasan, OBK mencatatkan peningkatan kepada RM3.831 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya bernilai RM537,490,” katanya.

Menurutnya, peningkatan ketara itu menunjukkan kejayaan kerjasama antara agensi penguatkuasa terlibat.

Sehubungan itu, Acyrl Sani berkata, PDRM akan terus komited untuk bersama-sama agensi terlibat dan kerajaan menerusi OBK.

Katanya, ia sekali gus mendokong Matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda 2030 dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara.

scroll to top