Peruntukan RM501.54 juta diharap dapat transformasikan sektor pertanian

Ghulam (kanan) membincangkan sesuatu dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

KOTA KINABALU:  Peruntukan RM501.54 juta yang disalurkan kerajaan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan diharap dapat mentransformasikan sektor pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata langkah kerajaan itu bagi memastikan semua program bagi sektor makanan terus berkembang maju demi untuk memenuhi permintaan pengguna dan keperluan dalam negeri.

“Peruntukan ini disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan, iaitu kementerian keempat menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2023.

“Ini merupakan suatu peruntukan yang wajar untuk sebuah kementerian yang amat relevan dalam memastikan negeri ini mampu bertahan dan sara diri, dari segi bekalan makanan.

“Kita berharap peruntukan ini dapat memastikan program sektor-sektor makanan terus berkembang untuk memenuhi permintaan pengguna dan keperluan dalam negeri contohnya beras, sayur-sayuran, bijirin, buah-buahan serta ikan, daging, ayam, telur dan seumpamanya.

“Bagi saya, sewajarnya kerajaan memberikan fokus dan keutamaan kepada sektor makanan, pada waktu pasca pandemik Covid-19 ini yang mengheret ekonomi di seluruh pelosok dunia dalam ketidaktentuan, dimana dikhuatiri krisis ekonomi global merudum dan inflasi meningkat,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha serta kerjasama strategik yang dilaksana dijangka mampu meningkatkan jaminan bekalan makanan serta menjamin sekuriti makanan, selain membantu petani dan pengusaha agromakanan.

“Langkah Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Pusat pada April tahun ini, bagi pembangunan sektor agromakanan di negeri ini amat bertepatan.

“Turut dimeterai adalah MOU di antara Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam aktiviti pelaburan dan meningkatkan sinergi bagi membangunkan Sabah Agroindustrial Presinct (SAIP),” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) 2022 dalam sidang Dun Sabah.

SAIP merupakan sebuah presint teknologi yang berfungsi sebagai platform untuk pembangunan Industri asas tani yang memberi tumpuan kepada pembangunan agromakanan dan tanaman khusus atau produk semulajadi didorong inovasi pemprosesan teknologi dan R&D di kawasan seluas 215 ekar di Kimanis Papar.-PENERANGAN.

scroll to top