Potuki, Pasir Putih lokasi baharu PPR – Shahelmey

KENANGAN....Shahelmey (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama 18 Ahli-Ahli Majlis Daerah Putatan bagi tahun 2023 - 2025.

KOTA KINABALU: Kampung Potuki dan Kampung Pasir Putih dikenal pasti sebagai dua lokasi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Putatan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata keperluan untuk menyediakan PPR di kawasan berkenaan amat tinggi dengan majoriti penduduk adalah dalam kelompok B40 dan golongan menengah.

“Seperti yang diketahui, di kawasan Putatan, hartanah teres dua tingkat berharga melebihi RM500 ribu malah apartment bertingkat tiga bilik juga mencecah RM400 ribu keatas.

“Pendapatan individu tidak bertambah secara ratio yang sama dengan kenaikan harga rumah, oleh itu penting untuk memastikan persiapan awal kerana harga tanah akan sentiasa meningkat dari tahun ke setahun.

“Ini akan menjadi punca kemiskinan bandar dengan kos pengangkutan, sara hidup, kadar sewa atau harga rumah yang tinggi.

“Sekiranya perancangan tidak diambil bagi menangani masalah tersebut, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun isu miskin bandar akan timbul di Putatan,” katanya semasa Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Ahli-Ahli Majlis Daerah Putatan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih, Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Jamili Nais, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib.-PENERANGAN.

scroll to top