Sabah perlu agihan hasil 40 peratus bangun prasarana atasi bencana

IR AWANG SALEH

KOTA KINABALU: Agihan 40 peratus kutipan hasil Persekutuan di Sabah diperkirakan dapat menyelesai masalah banjir yang memerlukan kos lebih RM3 bilion untuk membangun pelbagai prasarana mengatasi bencana itu terus berlaku.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Ir Awang Saleh Hj Makmud berkata Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan semula agihan peratusan itu untuk menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Sabah memperoleh agihan 40 peratus hasil, sudah tentu pelbagai masalah infrastruktur dapat diselesaikan termasuk prasarana untuk menghalang bencana banjir berulang,” katanya yang juga mantan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ir Awang yang juga Ketua Bahagian STAR Pintasan mengambil contoh, bencana banjir yang sering berlaku di Zon Pantai Barat Utara dan Selatan memerlukan sumber kewangan yang besar untuk penyelesaian jangka panjang.

Justeru, Ir Awang menyokong penuh tuntutan Kerajaan Negeri Sabah yang disuarakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor and Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan untuk mempertimbangkan semula agihan 40 peratus hasil yang dikutip Persekutuan dari Sabah.

Menurut Ir Awang yang juga Timbalan Ketua Penyelaras STAR Parlimen Kota Belud, sebagai permulaan, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob’s ke atas pemberian RM125.6 juta kepada Sabah dialu-alukan.

Bagaimanapun, Ir Awang berharap Kerajaan Persekutuan ikhlas melaksanakan hak-hak Sabah mengikut perlembagaan seperti yang dipersetujui dalam Persidangan Parlimen Disember 2021.

Ir Awang menambah, Sabah juga perlu mengejar ketertinggalan sosio ekonomi, kemudahan infrastruktur, sistem telekomunikasi dan kemudahan awam lain agar sejajar dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

scroll to top