Sabah perlu dasar luar biasa – Dr Jeffrey

DR JEFFREY ketika sidang media pada majlis berkenaan.

..Bagi capai pendapatan USD12,000 per kapita berbanding USD6,000 masa kini

KOTA KINABALU: Sabah hanya memperolehi USD6,000 per kapita setahun berbanding Malaysia iaitu USD12,000 per kapita setahun pada masa kini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan sehubungan itu berkata, Sabah perlu mewujudkan satu dasar luar biasa bagi membolehkan negeri ini mencapai pendapatan per kapita sebanyak USD12,000.

DR JEFFREY (kanan) dan Kapitan Stephen Teo menerima skroll daripada singa sempena majlis itu.

Katanya, untuk menjayakan ini, Sabah memerlukan pelaburan besar yang mana ianya belum difikirkan sebelum ini.

“Saya yakin kita boleh mendapat sasaran itu kerana Sabah perlu meletakkan sasaran untuk pembangunan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina  Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden STAR berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dengan pendekatan baharu.

Katanya, dasar kerajaan negeri kini memberikan ruang kepada pelabur asing untuk melabur kerana Sabah tidak hanya mengharapkan peruntukan kerajaan Pusat disebabkan negara turut terjejas ekonomi akibat ketidaktentuan pasaran global.

“Salah satu cara untuk Sabah mencapai sasaran pendapat per kapita itu adalah dari hasil pendekatan konservasi.

“Kalau dahulu, kayu balak ditebang dan menyebabkan perubahan iklim, banjir serta kebakaran. Kini kita menuju ke arah konservasi yang mana hasil pendapatan boleh diperolehi daripada penjualan karbon,” katanya.

ALBUM kenangan bersama sempena majlis itu.

Jeffrey berkata, karbon berkenaan kini diperlukan dunia untuk menstabilkan perubahan iklim dan sudah pasti pendekatan kerajaan negeri ambil ini akan mampu menjana ekonomi Sabah ke arah lebih mampan.

Antara yang hadir wakil parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Timbalan-Timbalan Presiden Star Datuk Ellron Alfred Angin yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Robert Tawik @ Nordin yang juga Pembantu Menteri Kerjaraya,  Datuk Kapitan Stephen Teo, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua Star, Setiausaha Agung Star Datuk Edward Linggu Bukut, Pengerusi Penganjur Datuk Francis Goh, Ketua Penerangan Star Jalumin Bayogoh, Ketua-ketua Bahagian dan ahli-ahli Star.

scroll to top