KOTA KINABALU : Sabah wajar mendapat hak saksama dalam bidang yang berkaitan bahasa dan sastera sesuai dengan hak rakyat Sabah dalam perjanjian MA63, kata Datuk Jasni Matlani, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).
Katanya, selama ini Sabah dan Sarawak tertinggal jauh di belakang dalam bidang bahasa dan sastera berbanding rakan mereka di Semenanjung, sama ada dari segi anugerah kepada golongan penulis, sasterawan, seterusnya dari segi peruntukan, penerbitan buku dan kemudahan berkarya untuk penulis.
“Contoh yang paling jelas, ialah penulis Sabah tidak pernah menerima Anugerah Sasterawan Negara, walaupun sudah lebih suku Abad merdeka. Begitu juga Sarawak. Malah pada tahun 2023, Sabah sudah merdeka selama 60 tahun dalam Malaysia, tetapi tiada seorang pun penulis atau sasterawan Sabah yang diangkat menjadi sasterawan negara” kata Jasni di sini semalam
Jasni yang juga penerima SEA Write Award 2015, berkata, sudah tiba masanya perubahan dilakukan bukan sahaja dari segi politik, ekonomi, infrastruktur, dan cara mengurus rakyat, tetapi melibatkan juga hal yang berkaitan dengan pengurusan Bahasa dan Sastera, seni dan budaya.
“Senario kepimpinan negara dan kesedaran rakyat di Sabah dan Sarawak sudah jauh berubah. Mereka semakin insaf terhadap nasib mereka selama ini dan permainan politik yang banyak merugikan. Maka sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka bangkit dari tidur” katanya.
Menurut Jasni, dalam tempoh enam puluh tahun, penulis dan Sasterawan di Sabah boleh melihat apa yang telah dilakukan untuk pembangunan Bahasa dan Sastera di Sabah, walaupun kita berkorban untuk menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.
“Generasi baharu kita semakin lenyap identiti, tidak boleh berbahasa bahasa ibunda masing-masing, kerana sistem pendidikan yang dibuat dalam bahasa Melayu, tetapi di sebalik pengorbanan ini, kita tidak pernah mendapat apa yang sepatutnya menjadi hak kita” kata Jasni.
Menurutnya lagi, kerajaan tidak pernah membina galeri Bahasa dan Sastera di Sabah, tidak pernah membina balai budaya untuk sebarang pementasan bertaraf Antarabangsa, atau dewan budaya terbuka untuk kegunaan masyarakat setempat di Sabah.
Malah lebih buruk lagi dinafikan hak dari segi penerbitan karya, kebajikan penulis, Sasterawan, budayawan, dan sebagainya.
“Semua ini bahagian daripada nasib malang kita, yang tidak pernah di pinta dan tidak pernah diimpikan oleh nenek moyang serta para pejuang kemerdekaan kita terdahulu” katanya.