Seragamkan Semua Adat Resam Kampung – Dr. Joachim

PEMERKASAAN ADAT: Dr. Joachim semasa berucap merasmikan Program Pemerkasaan Adat Mahkamah Anak Negeri di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ranau.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

RANAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyeru agar semua adat resam di kampung-kampung diseragamkan dan didokumentasikan untuk kegunaan generasi akan datang.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Program Pemerkasaan Adat Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ranau, di sini hari ini.

Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, program ini adalah untuk memperkasakan adat resam di daerah ini.

“Sabah satu-satunya negeri di seluruh Malaysia yang mengamalkan ‘Native Court’ (Mahkamah Anak Negeri – MAN) yang diperkenalkan sejak zaman British lagi. Inilah keunikan kita di Sabah. Oleh itu, kita harus pertahankan sistem ini,” katanya.

Program itu disertai seramai 38 orang terdiri Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan ketua kampung dari tiga mukim iaitu Bundu Tuhan, Kundasang dan Perancangan.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada MAN yang diketuai oleh Ketua Daerah Ranau OKK Muhasip Hj. Ruman kerana menganjurkan Jelajah Pemerkasaan Adat Daerah Ranau.

Dr. Joachim juga mengingatkan semua ketua-ketua kampung yang hadir supaya menasihatkan penduduk dibawah jagaan mereka yang belum divaksin agar berbuat demikian untuk membantu mencegah penularan COVID-19.

Dalam pada itu, Muhasip dalam ucapannya berkata, program ini diadakan untuk membincangkan tentang keperluan memelihara adat- adat kampung dan berterima kasih kepada semua yang menjayakan program berkenaan.

scroll to top