STAR lancar jentera pilihan raya umum Parlimen Peringkat Negeri

Linggu (kiri) bersama Dr Jeffrey dan Robert (kanan) di KKIA malam tadi.

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah pada Jumaat, 1 Julai akan melancarkan Jentera Pilihan Raya Umum Parlimen Peringkat Negeri bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-6 parti itu.

Setiausaha Agung STAR Edward Linggu berkata jentera pilihan raya itu akan dilancarkan Presiden Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan yang merangkumi 25 kawasan parlimen untuk memperkuat calon Gabungan Rakyt Sabah (GRS).

“Parti STAR juga memberi tumpuan khusus mempersiapkan jentera pilihan raya di kawasan-kawasan yang bakal ditandingi calon parti atas tiket GRS,” katanya di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas menyambut kepulangan Dr Jeffrey beserta rombongan dari London malam tadi.

Hadir sama di KKIA ialah Timbalan Presiden Datuk Robert Tawik, Naib Presiden Kapitan Stephen Teo dan para pemimpin kanan parti beberapa bahagian di sekitar Kota Kinabalu.

Linggu memaklumkan, sempena pelancaran di Dewan Masyarakat Keningau itu, pelbagai teras perjuangan parti yang telah dicapai akan dipaparkan kepada hadirin bagi menunjukkan komitmen STAR dalam perjuangan membela rakyat.

Pelancaran jentera yang bermula 9.00 pagi itu akan dihadiri para pemimpin STAR melibatkan ahli-ahli majlis tertinggi, wiramuda dan wiranita, ketua-ketua biro, penyelaras, ketua-ketua bahagian serta ahli-ahli jawatankuasa dari seluruh negeri.

Menurut Linggu, Dr Jeffrey dijangka memperkukuhkan lagi iltizam parti meningkatkan kewangan Sabah dari sumber dalaman dan persekutuan, penyelesaian isu warga asing, memperbanyak sumber bekalan keperluan harian dan mempelbagai peluang pekerjaan.

Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) memberitahu, hasil lawatan kerja Dr Jeffrey dan rombongan Kerajaan Sabah ke London telah membuahkan hasil positif dalam memperoleh lebih banyak sumber kewangan dan kuasa dalam persekutuan.

scroll to top