Stephen Teo dipilih Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Tionghua STAR

Linggu menerima Limau Mandarin dari Stephen diperhatikan ahli-ahli jawatankuasa STAR Karambunai.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Edward Linggu mengumumkan pemilihan Pemangku Timbalan Presiden Datuk Kapitan Stephen Teo selaku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat Tionghua STAR Sabah.

Linggu berkata melalui jawatankuasa itu Parti STAR akan melaksanakan pelbagai program berkaitan masyarakat Cina untuk meningkatkan lagi keberkesanan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membantu masyarakat itu.

“Dalam STAR setiap golongan masyarakat di Sabah diwakili tiga timbalan presiden yang merangkumi bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan Cina,” kata Edward.

Linggu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Limau Mandarin sempena Tahun Baru Cina 2023 STAR Karambunai di sebuah restoran makanan laut di Salut.

Hadir sama Stephen yang juga Ketua Bahagian STAR Karambunai, Naib Presiden merangkap Pengarah Strategi Dr Paul Porodong dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian STAR Karambunai.

Linggu seterusnya mengumumkan pelantikan Datuk Francis Goh yang juga Penasihat STAR Inanam selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Cina STAR Sabah.

Linggu turut memaklumkan, jawatankuasa itu akan bekerja membantu parti STAR menangani isu-isu berkaitan masyarakat Cina Sabah termasuk menganjurkan majlis-majlis STAR berkaitan masyarakat berkenaan.

scroll to top