Tujuh kanak-kanak hilang ditemui selamat

SELAMAT ...Semua mangsa termasuk tiga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia lingkungan tiga hingga 15 tahun itu ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba kira-kira 7.30 pagi.

KOTA BELUD: Tujuh kanak-kanak dan remaja yang hilang sejak semalam, di Kampung Kebayau, di sini, berjaya ditemui selamat.

Semua mangsa termasuk tiga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia lingkungan tiga hingga 15 tahun itu ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba kira-kira 7.30 pagi kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lery Joba Midih berkata, semua mangsa ditemui di kawasan hutan kira-kira 4 kilometer dari Kampung Kebayau dalam keadaan selamat.

“Ketika ditemui, semua mereka selamat namun berada dalam keadaan lemah mungkin disebabkan tidak makan sejak petang semalam.

“Mereka memberitahu mahu pergi melihat satu kawasan pembinaan jalan berhampiran Kampung Kubang, di sini, namun tersesat masuk ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi.

Lery berkata, kumpulan kanak-kanak itu memberitahu ketika cuba pulang ke rumah, hari sudah gelap dan mereka terpaksa bermalam di hutan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian hari kedua dimulakan pada jam 7.16 pagi kelmarin.

Katanya, semua mangsa berjaya ditemui di kawasan kebun berhampiran dan terus dibawa balik Kampung Kebayau untuk tindakan selanjutnya.

“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Ambulans untuk menerima pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi.

Dalam kejadian semalam, kehilangan mereka disedari ahli keluarga selepas semua mangsa termasuk tiga OKU terbabit tidak pulang ke rumah sehingga malam.

Difahamkan, empat daripada mangsa hilang adalah adik beradik iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni Kerinsuk, 13; Alistar Kerinsuk, 9 dan adik mereka, Royce Kerinsuk, tiga tahun.

Manakala tiga lagi yang hilang ialah Mecklorn Datine, 12, Elson Evan Lie Willie, 11, dan Elcy Jackter, 5 tahun.

scroll to top