USNO perjuang rundingan baharu, bukan perjanjian baharu

HISHAM AMPONGOU ABDULLAH

KOTA KINABALU: Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bertekad untuk terus  memperjuangkan `New Deal’ atau rundingan baharu bukannya  perjanjian baharu, kata Ketua Penerangan USNO, Hisham Ampongou Abdullah.

Beliau berkata, rundingan baharu berdasarkan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk hal berkaitan pembangunan dan menaik taraf prasarana serta membina prasarana dan kemudahan-kemudahan baharu seperti jalanraya dan sebagainya.

Rundingan baharu itu juga merangkumi penyelesaian masalah bekalan air dan elektrik, katanya kepada media, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemimpin Sabah untuk mengusulkan MA63 baharu.

“Kita dalam parti USNO  memperjuangkan rundingan baharu bukan perjanjian baharu,” kata Hisham lagi.

Hisham juga menekankan USNO mahukan rundingan baharu juga meliputi pembangunan sektor pertanian bagi menjamin bekalan makanan untuk negeri Sabah mencukupi.

Selain itu, kawalan harga yang lebih kompetetif dengan membina kilang-kilang pemprosesan setempat seperti minyak masak mesti juga termasuk dalam rundingan baharu itu.

USNO juga memperjuangkan agar kerajaan pusat memberi kebenaran kepada Sabah untuk terus membawa masuk pelabur luar.

Menerusi rundingan baharu itu juga, Sabah hendaklah diberi kebenaran untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari luar negeri dengan dijamin oleh Kerajaann Persekutuan, katanya.

Katanya,USNO sebagai sebuah parti kecil berbangga kerana idea rundingan baharu turut mengujakan parti-parti gergasi seperti UMNO.

Jelasnya, politik lebih stabil dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat terjamin andainya pihak-pihak daripada Persekutuan menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Sabah

USNO juga melihat kenyataan pemimpin-pemimpin parti terutama pemimpin-pemimpin parti bukan GRS yang membentuk kerajaan Sabah sebagai tidak peka dengan keinginan dan impian rakyat. Masa sekarang adalah untuk rakyat.

Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin yang mahu mengkaji semula hubungan dengan GRS, Hisham berkata ia adalah hak Datuk Bung dan UMNO tetapi lebih baiklah menumpukan kepada kebajikan rakyat dengan tidak terlalu berpolitik.“ Dahulukan Sabah dan rakyat Sabah,”katanya.

scroll to top