Zabidi rasmikan mesyuarat agung RESPA kali ke-7

KENANGAN…Ahli-Ahli RESPA bergambar selepas perasmian Mesyuarat Agung Respa kali ke-7.

KOTA KINABALU: Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) mengadakan Mesyuarat Agung ke-7 di Mes Pegawai Polis Kepayan yang dirasmikan oleh SAC (B) Datuk Zabidi Haji Mohd Zain, mantan Ketua Jabatan Pengurusan PDRM yang baru bersara tiga hari lepas.

Pengerusi RESPA Sabah, Datuk Haji Sulaiman Junaidi dalam ucapannya mengucapkan selamat bersara serta ucapan syabas dan tahniah kerana dapat berkhidmat dalam PDRM selama hampir 37 tahun serta dapat menghabiskannya dengan cemerlang.

Sulaiman berkata, semenjak RESPA mengembangkan sayapnya ke Sabah lebih tujuh tahun lalu, pihak IPK Sabah khasnya Pesuruhjaya Polis Sabah sendiri serta pegawai-pegawai dan anggota PDRM Sabah sentiasa memberi sokongan serta bantuan yang diperlukan oleh Respa untuk menjayakan kegiatannya.

“Datuk Zabidi adalah antara pegawai yang sering terlibat untuk berhubung dan memberi bantuan dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti anjuran RESPA ,” katanya sambil mendoakan agar Datuk Zabidi terus sihat dan diharap dapat menyertai Respa sedikit masa lagi dan mungkin menerajui Respa pada masa akan datang.

Dalam ucapan balasnya, Zabidi melahirkan rasa terima kasih kerana diberi peluang merasmikan Mesyuarat Agung ke-7 Respa dan menganggap ia satu penghormatan Respa sempena persaraan beliau.

Beliau juga memuji kepimpinan Respa yang ada kerana menganjur acara-acara bersama PDRM dan lain-lain badan demi kepentingan ahli mahupun kepentingan masyarakat setempat dari aspek kebajikan, sosial serta keselamatan memandangkan Respa juga adalah persatuan yang bertanggungjawab sebagai mata dan telinga kerajaan khasnya kepada PDRM.

MESYUARAT… Ahli-ahli Respa mengabadikan gambar ketika Mesyuarat Agung Respa kali ke-7

Selain menyampaikan cenderakenangan kepada Zabidi, Haji Sulaiman menyerahkan borang keahlian Respa kepada Zabidi.

Turut hadir dalam mesyuarat agung berkenaan ialah Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah, ACP Wan Badrul Hisham Osman, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu mewakili Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Hajah Kalsom Haji Idris.

scroll to top