363 Graduan Kolej SIDMA Dirai Dalam Majlis Konvokesyen Ke-7

SKROL: Mornie (kanan) menyampaikan skrol diploma kepada graduan.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Seramai 363 graduan Kolej SIDMA dalam jurusan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen ke-7 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, kecemerlangan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian selepas berdepan kesukaran belajar secara dalam talian akibat pandemik COVID-19 adalah suatu yang perlu dibanggakan.

ALBUM: Para graduan merakamkan gambar selepas sesi konvokesyen.

“Saya dapat merasakan keperitan dan kesukaran graduan-graduan kerana buat kali pertamanya kita berdepan pandemik sebegini rupa yang memaksa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan secara dalam talian.

“Semua institusi pendidikan, sama ada sekolah mahupun kolej diarahkan untuk menutup operasi seketika dan semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian, namun akhirnya hari ini, graduan-graduan kita membuktikan bahawa usaha keras pasti membuahkan hasil, walaupun dugaan datang tanpa di duga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej SIDMA di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Kolej SIDMA Dr Morni Kamrie dalam ucapannya turut mengingatkan para graduan untuk sentiasa mengingati asal usul dan tidak melupakan jasa keluarga.

Katanya, pengorbanan ibu bapa adalah suatu bentuk kasih sayang yang tidak dapat ditukar ganti dan anak-anak yang sudah berjaya wajar membalas jasa ibu bapa.

PELAJAR TERBAIK: Mornie (tengah) bersama pelajar cemerlang Damien (kiri) dan Qerina (kanan).

“Selepas bergraduasi, perlu terus ingat segala pengorbanan ibu bapa, jasa mereka tidak dapat diukur dengan nilai apa pun, jadilah anak yang berbakti kepada mereka selepas berjaya, bantulah adik-beradik yang juga menjadi tulang belakang kepada kejayaan anda semua.

“Saya juga mahu para graduan SIDMA untuk terus menimba ilmu dan tidak berhenti untuk menambah segala pengetahuan kerana ilmu adalah perjuangan yang perlu kita teruskan, walaupun anda sudah memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.

Dua graduan dinobatkan sebagai pelajar terbaik, Damien Godrey bagi Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Nur Qerina Hanisa Abdul Halim bagi Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

scroll to top