SK Kirokot Terus Lakar Kejayaan

ATAMA: Hallsen (kiri) bersama dua lagi rakan guru, Indro (tengah) dan Juhidin (kanan) yang terlibat sama dengan pertandingan Karnival Kumpulan Inovatif dan Kreatif Profesional Keguruan 2021.

Johan Pertandingan Karnival Kumpulan Inovatif Dan Kreatif Profesionalisme Keguruan 2021

Oleh MARIAYATI MURSIDI

RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kirokot dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang terus melakar kejayaan, kali ini dalam kalangan pendidik yang mana telah menjadi johan peringkat kebangsaan dalam pertandingan Karnival Kumpulan Inovatif dan Kreatif Profesionalisme Keguruan 2021 yang diadakan secara maya.

Pertandingan berkenaan adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Bahagian Profesionalisme Keguruan yang bermula pada 21 sehingga 23 September lalu.

Barisan pembentang SK Kirokot yang terlibat ialah Hallsen Justin, Indro Ebin dan Juhidin Jukilin.

Hallsen yang merupakan Guru Ikon Inovasi Pendidikan Ranau 2021 berkata, nama kumpulan mereka ialah ATAMA, yang diambil dari perkataan Bahasa Dusun bermaksud ‘berani’. Ia ditubuhkan di SK Kirokot pada tahun lalu.

Katanya, pertandingan ini melibatkan 168 buah pasukan yang melibatkan pendidik dari Institut Aminuddin Baki, institut pendidikan guru, kolej matrikulasi, kolej vokasional, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Hallsen menjelaskan, selepas 101 pasukan layak ke peringkat saringan, hanya 30 pasukan terbaik seluruh Malaysia terpilih di peringkat akhir.

Katanya, setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam pertandingan akhirnya mereka memperoleh kemenangan dan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil pengiktirafan tertinggi.

“Ribuan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau Majus Munsing dan Guru Besar SK Kirokot Michael Bahinding atas sokongan moral yang diberikan kepada kami,” katanya.

Pada 20 September lalu, dua murid dari sekolah berkenaan iaitu Areha Heavenea Azri dan Jetty Lorrend memenangi pingat emas dalam pertandingan antarabangsa anjuran Persatuan Inovasi, Rekacipta dan Kreativiti (MIICA).

scroll to top