GRS hadapi cabaran pertama menangi 25 kerusi Parlimen Sabah

Stephen menerima ahli-ahli baharu STAR dari Japyna.

TELIPOK: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuka cabaran pertama kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyatukan kekuatan para pemimpin dan penyokong lima parti gabungan untuk memenangi 25 Kerusi Parlimen di Sabah.

Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Kapitan Stephen Teo meminta ahli-ahli parti itu khususnya yang baru mengemukakan keahlian agar memahami kerjasama antara lima parti gabungan untuk mengundi calon GRS.

“Jelajah GRS di Keningau dan Kudat menunjukkan kesatuan memberangsangkan para pemimpin serta ahli-ahli parti akar umbi lima parti gabungan untuk memenangi kawasan-kawasan yang akan ditandingi,”katanya.

Stephen yang juga Ketua Bahagian STAR Karambunai yakin kesatuan dan kekuatan sokongan ahli-ahli parti gabungan mampu memberi kemenangan selesa kepada calon-calon GRS pada PRU15.

Parti-parti gabungan dalam GRS terdiri daripada Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyatakan keyakinan itu ketika menerima 48 ahli baharu STAR dari DUN Karambunai dan DUN Pantai Dalit di Bukit Payung.

Hadir sama Ketua Bahagian STAR Pantai Dalit Alfred Kabaron, Naib Ketua Bahagian STAR Karambunai Robert Silati dan Timbalan Penyelaras STAR Sepanggar Charles Arab.

Keahlian baharu STAR dari Kg Norowot dan Telipok V12 KKIP Bukit Payung diserahkan Japyna Joniu manakala keahlian baharu dari Pantai Dalit diserahkan Tan Nyuk Fah.

Stephen seterusnya meminta ahli-ahli parti itu membiasakan diri dengan rupa bentuk lambang GRS agar lebih mudah mengenal pasti lambang yang akan diundi pada PRU15.

scroll to top