Manfaatkan Sidang DUN Demi Rakyat – Khairul Firdaus

KHAIRUL FIRDAUS

KOTA KINABALU: Semua pihak diseru untuk memanfaatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa depan sebagai wadah memperjuangkan rakyat dan kemakmuran negeri ini dalam pasca pandemik COVID-19.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, rakyat di negeri ini dilihat ternanti-nanti dengan penuh harapan sidang berkenaan digunakan menjadi medan perjuangan semua masyarakat.

“Isu-isu membabitkan ekonomi Sabah perlu diperdebatkan dengan lebih holistik, baik dari sudut mikro ataupun makro.

“Banyak pihak yang cukup terkesan dengan keadaan semasa yang seakan-akan belum ada ‘cahaya di hujung terowong’.

“Pakej Khas rangsangan ekonomi negeri Sabah perlu dipercepatkan untuk menghadapi kelembapan ekonomi di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, geran-geran khas wajib disediakan demi memastikan kelangsungan peluang pekerjaan, bahkan ‘reskilling’ untuk anak-anak muda mesti diperbanyakkan dan digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan negeri.

“Sememangnya cabaran dan pengurusan kerajaan negeri Sabah juga akan berubah daripada proses sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19, maka dengan itu sains dan teknologi akan memainkan peranan yang cukup besar.

“Kerajaan negeri juga harus mewujudkan jawatankuasa digital Sabah yang dibarisi oleh pakar pakar sains dan teknologi untuk memberikan pandangan dan nasihat untuk kita mendepani dunia digital ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus turut mendedahkan isu perumahan dan pendidikan di negeri ini yang dilihat sekian lama terpinggir perlu di perkasakan.

Jelasnya, ramai keluarga di negeri ini tidak mampu membeli dan mempunyai rumah pertama disebabkan kos yang terlalu tinggi.

“Sewajarnya kerajaan negeri memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik supaya masalah pokok yang sekian lama ini dapat diselesaikan.

“BERSATU Sabah percaya dengan kerjasama yang erat di antara kerajaan negeri dan pelabur-pelabur antarabangsa pastinya ada formula yang cukup baik untuk rakyat kita,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai isu pendidikan yang dilihat aset paling berharga untuk negeri Sabah.

Tambahnya, kerajaan harus memberikan biasiswa secara agresif kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dengan automatik tanpa melihat latar belakang bangsa mahupun agama.

“Kekurangan celik pandai di negeri kita kelak boleh membawa ‘brain drain’ kepada negeri Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Firdaus berkata, rakyat Sabah merupakan rakyat yang paling matang di Malaysia.

“Manakah tidak sudah tujuh kerajaan negeri bertukar. Dengan itu, sebagai pemimpin politik kita juga harus menerima kematangan itu.

“Alangkah manisnya kalau jawatan ketua menteri hanya dihadkan selama dua penggal untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dapat diteruskan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar persidangan DUN ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak di blok kerajaan dan negeri demi negeri Sabah kita yang tercinta,” katanya.

scroll to top