UMNO Beaufort Akan Letak Calon Pada PRU15

AHLI BAHARU: Awang Aslee menerima borang keahlian UMNO sambil disaksikan Siti Aminah, Awang Damit dan Abdullah.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

BEAUFORT: UMNO Bahagian Beaufort mengambil pendirian akan meletakkan calon dari parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya Datuk Awang Aslee Lakat berkata, tidak ada sebab bagi UMNO tidak meletakkan calon pada PRU akan datang memandangkan kawasan itu sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh UMNO.

“Hanya bila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimennya tanpa persetujuan sepenuhnya dari ahli-ahli UMNO bahagian itu, dengan mudah kawasan itu beralih kepada parti lain tanpa persetujuan ahli-ahli di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Melabau, di sini kelmarin.

Beliau berkata, walaupun berlaku rentas parti, UMNO bahagian itu masih wujud dan tidak ada cawangan yang dibubarkan, ini melambangkan struktur UMNO khususnya di bahagian itu masih kukuh.

Menurutnya, terdapat lebih 224 cawangan-cawangan UMNO masih berfungsi seperti biasa dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Saya yakin ahli-ahli yang ada adalah mereka yang setia kepada prinsip perjuangan dan tidak ada sebab bagi kita melepaskan kawasan ini untuk diwakili oleh UMNO pada PRU akan datang,” katanya.

Mengulas perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan yang sedang berlangsung di bahagian itu, Awang Aslee berkata momentum dan sambutan ahli-ahli UMNO masih di tahap yang tinggi, malah kehadiran mereka ke mesyuarat cawangan-cawangan begitu menggalakkan walaupun melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Saya yakin semangat dan kesetiaan mereka kepada parti masih kukuh malah ada ahli-ahli baharu yang berminat menyertai perjuangan UMNO,” katanya.

Pada majlis itu, Awang Aslee turut menerima 49 ahli baharu UMNO dari daerah mengundi Takuli.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua wanita UMNO Bahagian Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Hj Aching, Naib Ketua UMNO bahagian Awang Damit Jion dan Ketua Penerangan UMNO bahagian Abdullah Satar.

scroll to top