KOTA BELUD: Program MDK (Majalah dalam Kelas) anjuran SK Ulu Kukut bersama DBP berlangsung sederhana di bangunan baru sekolah itu pada Sabtu, 70 peserta dengan sepuluh guru pengiring nampaknya amat teruja mengikuti sesi MDK sehingga jam 3 petang.

PEMBIMBING… Editor Dewan Pelajar, Fansurina Ramli dan Editor Dewan Siswa, Siti Irni Yuslinda Mosman (kanan)
Peserta datang dari lima buah sekolah di sekitar Kota Belud, antaranya SK Taun Gusi, SK Jawi-Jawi, SK Timbang, SK Lasau Tintapon dan SK Ulu Kukut sendiri sebagai tuan rumah.
Yang menariknya, sebuah sekolah rendah di Kota Marudu iaitu SK Tandek, tidak ketinggalan merebut peluang keemasan itu.

EDITOR…Editor Dewan Pelajar, Fansurina Ramli.
Betapa tidak, hari itu editor Dewan Pelajar, Fansurina Ramli dan Editor Dewan Siswa, Siti Irni Yuslinda Mosman bertandang ke SK Ulu Kukut bagi menyantuni dan membimbing murid-murid sekolah rendah Tahap 2 untuk lebih mencintai ilmu melalui bidang penulisan kreatif.
Selepas acara perasmian, para peserta pun dibahagikan kepada sepuluh kumpulan untuk aktiviti pengenalan, Biasakan yang Betul Betulkan yang Biasa (Byb. ByB), karya Saya, Interaksi Bahasa dan kuiz Menara Belon bagi memberi kefahaman tentang MDK lebih lanjut.
Menurut Fansurina, kebanyakan peserta termasuk guru-guru pengiring memahami inspirasi DBP untuk melahirkan penulis bermutu pada masa hadapan.

AGIH KERTAS PROGRAM… Fansurina mengagih-agihkan kertas untuk program MDK.
Tambahnya lagi, hal itu dapat dilihat daripada segi kerjasama yang diberikan oleh para peserta dan guru-guru tersebut.
Walau bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk menyimpulkan minat serta kecenderungan peserta dalam berkarya, kerana program yang dijalankan tidak mengkhusus penuh kepada bidang penulisan sahaja, kerana apa yang mereka tekankan ialah menarik minat pelajar untuk membaca.
“Namun ada antara mereka yang menghantar karya pada waktu itu juga, Cuma saya belum menilainya lagi.
“Ada tujuh orang murid yang membacakan karya mereka semasa program… saya boleh katakan bahawa tema yang mereka bawa punyai sedikit kematangan.

TETAMU KEHORMAT… Haji Razali Che Mat (tengah) bergambar sama dengan Hasyuda Abadi (duduk dua dari kiri), Norawi Haji Kata (duduk dua dari kanan) dan Mokilau Rudin (duduk kanan).
“Misalnya ada seorang murid yang memilih untuk menulis perasaannya tentang kehidupan pada usianya yang muda… itu agak unik.
“Sementara yang lain memilih tema sajak yang popular bagi kebanyakan murid sekolah iaitu puisi tentang guru dan ibubapa,” jelas Fansurina.
Fansurina turut menyentuh tentang isu plagiat yang tidak seharusnya diberi ruang dalam dunia penulisan, kerana katanya perkara adalah barah yang pasti meruntuhkan kredebiliti pengkarya dan media yang menampung karya itu sendiri.

CENDERAMATA…Norawi Haji Kata menyampaikan cenderamata kepada Haji Razali Che Mat, sambil disaksikan oleh Aninah janang (kanan) dan Mokilau Rudin (kiri).
“Ada murid yang sekadar hantar kerana arahan guru, jadi mereka pun menyalin terus daripada internet. Plagiat adalah isu pokok yang kita fahamkan kepada para peserta dan guru pengiring. Seperti yang kita sedia tahu, kejujuran adalah amat penting dalam berkarya,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP Malaysia, Haji Razali Che Mat, mengharapkan agar program MDK dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar bagi menggunakan Dewan Pelajar di sekolah rendah dan Dewan Siswa di sekolah menengah sebagai bahan pembelajaran di dalam kelas.
“Saya mengharapkan agar anak-anak ini menghantar karya ke Bahagian Majalah, kerana saya percaya dengan latar kehidupan mereka di luar bandar ini, mereka mampu menulis dengan baik, dan kami akan siarkan dalam majalah-majalah tersebut.

TERTARIK…pelajar dan guru pengiring tertarik dengan kandungan Dewan Pelajar.
“Saya turut mengharapkan pihak sekolah agar mempamerkan hasil karya pelajar mereka yang disiarkan di majalah pada papan kenyataan sekolah.
“Sebab dengan demikian, pelajar yang menulis itu dan rakan-rakan akan terangsang untuk menulis dan belajar dengan lebih tekun,” katanya.
Yang turut hadir dalam program sehari itu ialah Sasterawan Negeri, Hasyuda Abadi; Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, Aninah Janang; Timbalan PPD Kota Belud, Mokilau Rudin; Guru Besar SK Ulu Kukut, Norawi Haji Kata serta para penggiat sastera dan penulisan di Sabah.