Mengenang DSP Haji Ahmad Ayid, Setelah Lapan Tahun Berlalu

KENANGAN…Gambar arwah DSP Haji Ahmad Ayid bersama isterinya Datin Hajah Nikmag dan tiga anaknya Mohamad, Jainab dan Abdul Sabur.

Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN

EMPAT HARI sebelum menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2013, seorang tokoh besar, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid pergi mendahului kita. Kini selepas lapan tahun berlalu,pemergian Allahyarham masih lagi dirasai oleh mereka yang mengenalinya.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Sabah kira-kira jam 11.00 pagi 13 September 2013. Jenazah kemudian diterbangkan ke Tawau dan dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titingan sebelum waktu Maghrib.

Allahyarham Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid adalah seorang tokoh yang banyak memberi jasa baktinya dalam sejarah pembangunan sosial, politik dan dakwah Islam di negeri ini terutamanya di daerah Tawau. Perjuangan dan pengorbanan beliau dalam usaha mencapai kemerdekaan di negeri ini layak dicatat dalam tinta emas.

KELUARGA….Anak-anak dan cucu yang sempat merakamkan gambar hari raya beberapa tahun lalu.

DSP Haji Ahmad Ayid dilahirkan pada 3 Februari 1926 di Sandakan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Tawau pada 1935 hingga tamat darjah lima pada tahun 1940 .. Beliau adalah anak kedua daripada tiga adik beradik, kakaknya yang bernama Ghania dan adik lelakinya yang bernama Salleh.

Ketika tentera Jepun menduduki Borneo Utara pada 1942, beliau mempelajari bahasa Jepun dan menguasai bahasa itu dengan cemerlang bahkan berjaya mendapat tempat kedua dalam peperiksaan bahasa Jepun yang diadakan di seluruh Borneo ketika itu.

Kemudian beliau ditugaskan sebagai Jurubahasa kepada Residen Jepun di Tawau bermula 1942 sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945.

Beliau juga diberi tanggungjawab selaku `Port Control’ untuk mengawal pengagihan makanan di seluruh daerah Tawau.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau meneruskan persekolahan hingga darjah lima pada tahun 1950. Kemudian beliau bekerja sebagai Pembantu Guru. Minatnya belajar tidak pernah luntur sebaliknya beliau menghadiri kelas malam untuk mendalami bahasa Inggeris di SM St Patrick Tawau hingga selesai pada tahun 1954.

MESRA…Arwah DSP Haji Ahmad Ayid bersama Datuk Dr Hajah Jainab dalam satu majlis.

Banyak pengalaman pahit yang dialaminya ketika perang, antaraya pernah mendapat kecederaan di lengan kiri akibat terkena serpihan bom ketika Tentera Bersekutu melancarkan serangan udara ke atas daerah Tawau.

Rumahnya habis ranap, barang-barang tidak sempat diselamatkan tetapi beliau bernasib baik apabila sempat terjun ke sungai.

Apabila perang selesai, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan kerana kegigihannya, perniagaan yang diceburinya mendapat sambutan masyarakat. Sikapnya yang suka membantu, cepat membuatnya dikenali sebagai seorang dermawan.

Namun beliau tidak henti-henti memberikan kesedaran mengenai nasib masyarakat yang terjajah dan pentingnya mereka bersatu untuk mencapai cita-cita kemerdekaan agar terlepas dari belenggu penjajahan. Itulah sebabnya beliau bergerak aktif dalam kegiatan-kegiatan politik dan sosial semata-mata untuk memastikan kesejahteraan masyarakat.

Beliau mula berkecimpung dalam politik sebagai ahli USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) pada tahun 1962. Beliau menjadi Ketua Cawangan USNO Bandar Tawau dan pernah menghadiri Majlis Penubuhan USNO di Kudat sebelum itu. Beliau juga menjadi Timbalan Ketua USNO Bahagian Tawau sehingga USNO dibubarkan pada 1991.

Allahyarham DSP Haji Ahmad Ayid adalah seorang tokoh yang sangat berjasa dalam proses penubuhan Malaysia pada 1963. Bersama enam yang lain, beliau turut serta dalam rombongan Usno yang diketuai Tun Datu Mustapha Datu Harun menghadiri perjumpaan dengan Suruhanjaya Cobbold.

Selepas UMNO mengembangkan sayapnya ke negeri ini pada 1991, beliau dipilih sebagai Pengerusi Tetap UMNO P162 Tawau dari tahun 1991 hingga 2002.

Kebangkitan semangat memperjuangkan kemerdekaan sebenarnya bermula lebih awal lagi pada diri DSP Haji Ahmad Ayid. Sejak darjah lima, beliau sudah aktif dalam persatuan Sahabat Pena yang bergerak memperjuangkan kemerdekaan.

SALING MENYAYANGI…Sebahagian keluarga arwah DSP Ahmad Ayid.

Pada tahu 1945, bersama rakannnya iaitu Allahyarham Datuk Ampong Kerahu, Allahyarham OKK Haji Zainal Kerahu, Allahyarham Kee Sulaiman, Allayharham Kee Abu Bakar sebagai ketuanya menubuhkan Persatuan Kebajikan Melayu Tawau (PKMT). Beliau terpilih sebagai ahli jawatankuasa PKMT sejak ditubuhkan.

Beliau juga aktif dalam Persatuan Islam (PIT) sejak 1947 dan pernah dipilih sebagai sebagai Timbalan Ketua PIT selain dilantik sebagai Ketua Biro Kebajikan & Biro Tabligh (Dakwah) dalam PIT.
Peranan beliau dalam biro kebajikan sangat penting, antaranya memastikan pungutan zakat dapat dijalankan untuk membantu orang orang miskin, mangsa bencana alam, kebakaran, kematian dan sebagainya.

Sebagai pengerusi biro dakwah pula, , beliau memainkan peranan mengatur pentadbiran masjid, melantik imam masjid dan menjadualkan pembaca khutbah secara bergilir-gilir.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha bagi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Rakyat Islamiah Tawau dan Masjid Raya Daerah Tawau, yang pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh masyarakat.

Selain itu beliau juga adalah salah seorang pengasas dan tokoh penting sehingga tertubuhnya Sekolah Rakyat Islamiah Tawau selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan NGO lain seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di sekolah kerajaan di daerah Tawau.

Apabila Persatuan Islam Tawau (PIT), Persatuan Islam Sabah (PIS) dan Persatuan Islam Putatan (PIP) bersetuju membubarkan persatuan masing-masing pada 1968 untuk menubuhkan sebuah pertubuhan baru yang dikenali Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Kemudian beliau terpilih sebagai Naib Presiden dan pernah dipilih sebagai Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung USIA sehingga tahun 2009. Beliau juga dikurniakan ‘Anugerah Jasamu dikenang USIA’ sempena Perhimpunan Agung USIA tahun 2008.

Beliau juga aktif dalam Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) Tawau dan pernah menjadi Timbalan Presiden DPBS dalam tahun 70-an,80-an, dan 90-an. Pada tahun 2000, beliau dikurniakan Anugerah Tokoh Jasamu Dikenang DPBS .

Beliau juga adalah ahli seumur hidup Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).
Semasa konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada tahun 1963, beliau menjalani latihan ketenteraan dan kemudian dilantik sebagai Leftenan bagi Pasukan Pertahanan Awam yang dipertanggungjawabkan bagi mengawal tempat-tempat penting seperti Pelabuhan,Pos dan Air.

Bagi mengenang jasa-jasanya beliau menerima Pingat PPN (Pingat Pangkuan Negara) dari Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong pada tahun 1970, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 1972, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu pada tahun 1975, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada 1977.

Di kalangan keluarganya, beliau disifatkan sebagai seorang pejuang yang cekal. Bagi Datuk Dr Hajah Jainab DSP Ahmad Ayid, Mantan Menteri Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (Mei 2013-Mei 2018), ayahnya seorang yang tegas dan dedikasi dan banyak berkorban dan berbakti bukan saja kepada keluarga tetapi kepada masyarakat. Selain itu, beliau juga seorang yang pemurah.

“Arwah ayahanda saya adalah seorang yang penyayang tetapi tegas. Beliau seorang pelindung (protective) terhadap anak-anaknya,” katanya.

TAHLIL…Majlis tahlil dan doa selamat memperingati ulang tahun pemergian arwah.

“Kami yang hidup ada tujuh orang dan yang meninggal empat orang (sewaktu mereka kecil lagi). Jumlah adik beradik 11 orang,” katanya.

“Arwah ayah saya mengajar kami ilmu agama.Itulah yang menjadi pegangan kami anak-anaknya dan kami mengajarkan kepada anak-anak kami dan masyarakat,” katanya.

Selain itu beliau sentiasa menggalakkan agar ‘Tuntutlah ilmu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadahlah kamu, seolah-olah kamu akan mati bila-bila masa’.

Itulah yang menjadi pegangan kami dan kami turunkan kepada anak-anak kami.Kami berdoa mereka akan menjadi orang-orang yang berguna.

Beliau juga selalu ingat pesan arwah ayah dan arwah ibunya (Datin Hajah Nikmah) iaitu agar selalu mengingati Allah SWT yang sentiasa nampak apa yang kita buat. Jadi berbuatlah baik.

scroll to top