Sabah buktikan Malaysia tidak perlu pilih sama ada gajah atau sawit   

Artikel ini bersempena  CBD COP15 Fellowship 2022 yang dianjurkan oleh Internews’ Earth Journalism Network.

Oleh Soon Li Wei

MONTREAL (Kanada): Selaku pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, Malaysia juga berdepan pelbagai tohmahan yang dilontar oleh pelbagai pihak antarabangsa, khususnya tentang  kelestarian sektor itu yang didakwa dibangunkan atas “pengorbanan” flora dan fauna.

Antara dakwaan mereka ialah pembukaan ladang kelapa sawit, terutama di Sabah yang merupakan negeri pengeluar sawit terbesar Malaysia,  membawa ancaman kepupusan terhadap haiwan dilindungi seperti gajah Borneo atau gajah pygmy.

Namun, dokumentari mini bertajuk ‘Bornean Elephants – A Journey Through A Living Landscapes’ yang ditayangkan kepada masyarakat buat pertama kali di acara sampingan bersempena mesyuarat ke-15 Persidangan Parti-Parti (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, membuktikan gajah pygmy dan ladang kelapa sawit boleh “hidup bersama” secara harmoni.

Dokumentari berdurasi 10 minit itu yang dihasilkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, antara lain berkisar tentang  “seratu aatai”, atau solidariti dalam bahasa suku kaum Sungai di Sabah, iaitu satu projek yang diasaskan oleh seorang penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pakar pemuliharaan UMS Dr Nurzhafarina Othman memulakan projek itu pada 2018 dengan misi mewujudkan masyarakat yang sanggup memikul tanggungjawab melindungi gajah Borneo dan mampu hidup harmoni dengan haiwan berkenaan.

Bertumpu di Sungai Kinabatangan, projek itu boleh dianggap sebagai “bukti hidup” tentang bagaimana pendekatan yang bagus boleh mengubah persepsi masyarakat tentang mamalia yang sebelum ini dilihat sebagai makhluk perosak yang menjadi igauan ngeri petani di kawasan berkenaan.

PENDEKATAN LLA 

“Dulu memang takut bila jumpa gajah, terus lari kalau ternampak dari jauh. Tapi sekarang tidak lagi.

“Malah, sekarang saya sudah boleh baca gerak-geri mereka, jika mereka mahu menyerang atau sebaliknya,” kata Jojo, seorang renjer gajah dari Kinabatangan dalam dokumentari mini itu.

Jelas lelaki daripada suku kaum Sungai itu, menerusi projek tersebut, penduduk didedahkan kepada cara “hidup bersama” gajah dan haiwan lain melalui pendidikan dan program kesedaran bagi memastikan haiwan terbabit kekal terlindung, sambil pada masa sama penduduk juga tidak mengalami kerugian dari segi tanaman dan harta benda akibat serangan gajah pygmy.

“Projek ini menunjukkan haiwan ini boleh hidup secara harmoni dengan manusia menerusi adaptasi Living Landscape Approach (LLA), iaitu pendekatan berinovasi berasaskan alam semula jadi dalam melindungi biodiversiti dan pembangunan ekonomi,” kata Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Henry Chan kepada Bernama.

Katanya, pada masa ini, rekod menunjukkan hanya terdapat sekitar 1,500 ekor gajah pymgy di Sabah, sekali gus menuntut pendekatan pemuliharaan yang berinovasi bagi mengimbangi keperluan alam semula jadi dan manusia.

“LLA berasaskan tiga tonggak, iaitu protect (lindung), produce (pengeluaran) dan restore (pemulihan), dan dokumentari ini mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua spesies dalam berkongsi ruang, seterusnya mengatasi cabaran-cabaran itu untuk hidup bersama secara harmoni dan lestari,” jelasnya.

Ulas beliau, LLA menggabungkan pemuliharaan dan pembangunan lestari dengan menggembleng perlindungan hutan, hidupan liar dan sungai  bersama-sama pengeluaran kelapa sawit yang mempunyai pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) selain pemuliharaan koridor ekologi dan rizab tebingan sungai.

(Pensijilan RSPO merupakan skim pensijilan nasional di Malaysia untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit dan diperlukan bagi memastikan produk sawit Malaysia yang dihasilkan adalah lestari  dan dapat diterima di pasaran global)

“Ia adalah pendekatan pemuliharaan yang melindungi hutan, hidupan liar dan ekosistem air tawar, menyokong pengeluaran kelapa sawit yang lestari dan pemuliharaan hutan melalui pembentukan koridor hidupan liar,” jelasnya.

Menurut Chan, WWF-Malaysia akan memperluas LLA ke tiga landskap lain iaitu Tabin, Tawau dan kawasan rendah Sugut.

“Usaha susulan juga akan diteruskan di kawasan hutan tengah Sabah, Kalabakan dan Ulu Padas-Nabawan,” kata beliau, menambah usaha itu seiring dengan matlamat Sabah untuk memastikan semua ladang kelapa sawit di negeri tersebut memperoleh pensijilan RSPO menjelang 2025.

KORIDOR HIDUPAN LIAR 

Sabah, negeri pengeluar kelapa sawit terbesar Malaysia, mempunyai ladang dengan gabungan keluasan lebih 1.35 juta hektar. Justeru, ia mengambil beberapa langkah perlu untuk membolehkannya muncul sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit lestari.

Menurut Chan, syarikat serta pekebun sawit dan juga juga kerajaan negeri, bekerjasama dengan WWF-Malaysia sejak 2012 bagi mewujudkan koridor ekologi yang membolehkan haiwan “menyeberang” kawasan ladang untuk mencari makanan di hutan berjiran.

“Misalnya pada 2020, sebuah koridor hidupan liar telah dibina merentasi ladang kelapa sawit berkaitan kerajaan Sabah untuk ke Hutan Simpan Silabukan  dan Taman Hidupan Liar Tabin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata WWF-Malaysia juga bekerjasama dengan pemain industri, antaranya Sabah Softwoods Berhad (SSB) – pengeluar pokok industri dan kelapa sawit – dalam mengurangkan kerosakan tanaman dengan membenarkan gajah mengakses bahagian-bahagian tertentu ladang mereka.

“SSB yang terletak di Tawau berdepan konflik gajah-manusia sejak 2004 dengan kerugian purata sekitar RM500,000 setahun dalam tempoh 2004 hingga 2011.

“Namun, kerjasama kami menghasilkan koridor hidupan liar seluas 1,067 hektar pada 2013 bagi memenuhi keperluan gajah terbabit,” ujarnya, menambah kerugian syarikat akibat serangan gajah turun ketara kepada hanya sekitar RM5,000 pada 2018.

Menurutnya, kehadiran haiwan itu sebenarnya dialu-alukan jika pokok kelapa sawit telah melebihi usia matang, namun yang menjadi masalah ialah haiwan berkenaan lebih tertarik kepada pokok muda, iaitu tanaman yang berusia bawah tujuh tahun.

“Justeru, untuk tempoh lapan tahun pertama, peladang akan memasang pagar bagi melindungi tanaman, namun ini menghalang gajah ke kawasan hutan berhampiran untuk mencari makanan.

“Akibat tiada laluan ke kawasan hutan lain, ia menggalakkan pembiakbakaan seturunan (inbreeding) selain risiko konflik hidupan liar-manusia.

“Pembinaan koridor ini, iaitu laluan berpagar elektrik, akan melindungi tanaman sambil membolehkan gajah dan hidupan liar lain bebas bergerak di antara kawasan hutan simpan Ulu Kalumpang di selatan dan Ulu Segama di utara,” jelas Chan.

Katanya, SSB juga membelanjakan RM1.76 juta untuk menanam semula pelbagai jenis tanaman asal dan pokok  buah-buahan di koridor sepanjang 14 kilometer itu sebagai sumber makanan hidupan liar.

PANTAU MELALUI SATELIT 

Bagi membantu pembinaan koridor hidupan liar, beliau berkata WWF-Malaysia memasang relang leher pada 24 ekor gajah bermula 2014.

“Usaha ini dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. Relang leher yang dipasang pada gajah-gajah terpilih ini dihubungkan kepada satelit bagi memantau pergerakan mereka.

“Data yang dikumpul membolehkan kami mengenal pasti pola pergerakan mereka, sekali gus membantu dalam perancangan koridor hidupan liar dan mempermudah syarikat merancang operasi tanpa membahayakan manusia dan juga haiwan terbabit,” jelas beliau.

Justeru kata Chan, amat penting bagi pengusaha ladang, terutama di kawasan berdekatan hutan, agar mengetepikan sebahagian tanah ladang mereka untuk dijadikan koridor hidupan liar.

“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri, syarikat perladangan serta komuniti setempat untuk membina koridor hidupan liar ini.

“Kita perlu akui, gajah pygmy ini akan terus bergerak melintasi kawasan ladang dan kami perlukan sokongan pengusaha ladang untuk mengawal dan seterusnya mengurangkan kadar konflik manusia-haiwan,” katanya.

 LADANG LESTARI  

Pada Oktober 2022, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata negeri itu merekodkan pengeluaran minyak sawit sekitar 4.36 juta tan dengan 4.02 juta tan dieksport ke negara seperti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Korea Selatan.

Malah kata Hajiji, Sabah merekodkan peningkatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit sebanyak 58,343 tan kepada 3.04 juta tan bagi tempoh Januari-Ogos tahun lepas, berbanding 2.98 juta tan untuk tempoh sama pada 2021.

Di sebalik peningkatan pengeluaran dan eksport sawit itu, Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dan industri sawitnya.

Menurut Ketua Konservator  Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan, antara inisiatif tersebut ialah Bidang Kuasa Pensijilan Kelapa Sawit Lestari (JCSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang dilaksanakan secara bersama di Sabah, melibatkan kira-kira 1.7 juta hektar ladang kelapa sawit, termasuk yang dimiliki oleh pekebun kecil.

“JCSPO amat penting bagi memastikan pembangunan industri yang mampan, khususnya dalam menangani isu seperti penggunaan bahan kimia dan pematuhan piawaian buruh,” katanya.

JCSPO merupakan inisiatif 10 tahun yang bermula pada 2015 dengan sasaran mengubah rantaian pengeluaran dan pembekalan minyak sawit negeri, menyekat penebangan hutan, memulihkan ekosistem dan menjamin kemampanan pendapatan termasuk membantu pekebun kecil memperoleh pensijilan RSPO menjelang 2025 selain MSPO.

“Ini bagi mencapai sifar kehilangan hutan dengan High Conservation Value (HCV) dan High Carbon Stock (HCS), mewujudkan landskap pengeluaran minyak sawit sifar konflik di Sabah dan memperkukuh kemampanan pekebun kecil serta menaikkan taraf hidup penduduk setempat menjelang 2025.

“Usaha ini bertujuan memastikan industri sawit Sabah, terutamanya pekebun kecil, kekal relevan dan berdaya saing di pasaran menerusi kumpulan pensijilan cekap kos di peringkat negeri,” katanya.

Frederick berkata bagi menyelesaikan konflik gajah-manusia, JCSPO menawarkan pendekatan menyeluruh yang membolehkan syarikat perladangan dan komuniti setempat bersama-sama mencari solusi terbaik.

“Mencari titik persamaan adalah amat penting agar alam semula jadi dan industri kelapa sawit dapat saling memanfaatkan,” tambah beliau.

30 PERATUS KAWASAN PERLINDUNGAN

Menurut Frederick, setakat ini sekitar 64 peratus atau seluas 4.7 juta hektar kawasan tanah Sabah masih berhutan, dan daripada jumlah itu, seluas 3.8 juta hektar atau 52 peratus daripada tanah negeri telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal, taman dan kawasan konservasi hidupan liar.

“Selain itu, Sabah juga menggembleng ikrarnya pada 2013 ke dalam dasar perhutanan negeri 2018 untuk meningkatkan keluasan hutan di bawah Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) kepada 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keseluruhan tanah Sabah menjelang 2025.

“Ini bermakna kami sudah laksanakan Matlamat 30×30 Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Kunming-Montreal sejak 2013,” ujarnya.

Menurut Frederick, melalui pelaksanaan Inisiatif Heart of Borneo, pelbagai usaha diambil bagi menambah baik pemuliharaan biodiversiti.

“Antaranya, menjalankan ekspedisi penyelidikan bagi mengenal pasti kawasan HCV bagi pengembangan dan pengukuhan TPA, memperhebat aktiviti pemuliharaan hutan di kawasan yang gondol, memperkukuh pelaksanaan Pengurusan Hutan Lestari (SFM) dan meneroka potensi ekopelancongan berasaskan hutan,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 1.9 juta hektar atau 26 peratus daripada lingkungan daratan negeri telah diperuntukkan sebagai TPA setakat ini dengan baki kira-kira 300,000 hektar lagi dijangka dapat dikenal pasti dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan negeri kerana ia bukan sahaja melangkaui komitmen kebangsaan untuk memiliki kawasan hutan seluas 50 peratus tetapi juga sasaran Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), iaitu memulihara sekitar 17 peratus daripada kawasan daratan dan perairan pedalaman dan tambahan 10 peratus lagi kawasan pantai dan marin,” katanya.

Kunming-Montreal GBF yang disepakati  oleh COP15 di sini pada 19 Dis lepas mengandungi matlamat berwawasan bagi 2050 dan 23 sasaran untuk 2030 bagi memelihara dan memulihkan alam semula jadi, melindungi biodiversiti serta menghalang kepupusan spesies.

Matlamat 30×30 yang merupakan tonggak GBF, menuntut negara yang berkenaan memulihara sekurang-kurangnya 30 peratus daripada daratan, perairan pedalaman, kawasan pantai dan lautan dunia, serta mengembalikan 30 peratus daripada kawasan lingkungan daratan dan marin yang sudah merosot.-BERNAMA

scroll to top