BIAR jauh beribu batu dari kampung halaman namun ia tidak menghalang Shazana Shaid, anak kelahiran Kota Kinabalu untuk mencipta nama di luar negeri.
Keupayaan dan kemampuannya bersaing dalam arena kerjaya yang mencabar, bekerja di sebuah negara ada kuasa seperti Amerika Syarikat sesungguhnya bukanlah mudah.

CIPTA NAMA…Shazana Shaid kini bertugas di sebuah hotel ternama di Amerika Syarikat.
Perlu keberanian yang bukan sedikit tetapi kejayaan Shazana menduduki jawatan kedua tertinggi dalam bidang kejuruteraan di hotel terkenal yang memiliki rangkaian di seluruh dunia amatlah membanggakan.
Pencapaiannya yang cemerlang menjadikan Shazana, anak Sabah pertama menjadi Assistant Director of Engineering di Four Season Hotel di One Dalton Street di Boston Amerika Syarikat.
Satu kejayaan yang jarang dicapai apatah lagi oleh seorang anak tempatan yang bekerja di negara besar.

BOLEH DIBANGGAKAN… Anak Sabah yang memperlihatkan kejayaan bersaing di peringkat antarabangsa.
Shazana mestilah menunjukkan kebolehan dan kemampuan yang setanding dengan golongan profesional di negara Uncle Sam itu.
Shazana adalah anak ketiga, Haji Mohd Shaid Othman, mantan Pegawai Daerah Beafort Sabah dan ‘Aisyah Sayadi .
Gadis keturunan Bisaya ini mendapat pendidikan rendah di Keningau sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Inanam dan SM Sanzac Kota Kinabalu.

HOTEL TERNAMA… Hotel Four Season di One Dalton Street Boston.
Selepas itu, Shazana mendapat diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Nilai University (2008-2011) .
Kemudian Shazana melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di University of Sunderland United Kingdom sehingga mendapat ijazah Bacelor Kejuruteraan (B.Eng) dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (2011- 2013 ).
Sejak kecil cita-citanya adalah meneroka sesuatu yang orang lain tidak mampu lakukan, satu cita-cita yang menuntut komitmen dan berani menghadapi cabaran.
Beliau bermula dari bawah namun kecekalan dan semangatnyayang kental membuktikan tiada sesuatu yang mustahil untuk digapai.
Beliau mungkin anak Malaysia yang menjadi Assistant Director Engineering di salah sebuah hotel terkemuka di dunia.
Semua ini dicapainya berdasarkan merit apatah lagi bekerja dalam persekitaran yang menuntut kemampuan yang tinggi dalam bidangnya.

TIADA YANG MUSTAHIL…Shazana buktikan tiada sesuatu yang mustahil
Jawatan nombor dua dalam bidang kejuruteraan di tempatnya bekerja bukanlah sesuatu yang mudah dicapai.
Di bawah jagaannya terdapat beberapa jurutera profesional yang lain, semuanya orang Amerika.
Tetapi bagi Shazana, ia bukanlah satu halangan. Sebelum bertugas di Boston, Shazana memegang jawatan sebagai Residences Engineering Manager di Mahe, Seychelles selama empat tahun lima bulan iaitu dari Jun 2018 hingga Oktober 2022.
Sebelum itu, Shazana bertugas sebagai Assistant Engineering Manager selama dua tahun di Langkawi bermula Julai 2016 hingga Jun 2018. Beliau sudah bersama Four Season & Resort Hotel selama 6 tahun 9 bulan.
Kisah perjalanan Shazana dalam meniti kariernya ini sewajarnya boleh menjadi inspirasi bagi generasi baru.

BERMAIN SALJI…Bekerja di rantau orang banyak cabaran.
Bukan saja pengalaman yang dimiliknya sudah tentu banyak tetapi pendapatannya lumayan sebagai seorang yang berjawatan tinggi dalam kejuruteraan. Kini gajinya mencecah USD8,000 sebulan (40,000 sebulan).
Perjalanan kariernya memang sesuatu yang menarik. Sebelum bertugas di Four Season, Shazana mengawali kerjayanya dalam bidang kejuruteraan apabila bertugas sebagai Mechanical & Electrical Engineer bermula April 2014 hingga Ogos 2015 di Zikay Group Sdn Bhd di Kuala Lumpur.
Ketika bertugas di sana, Shazana terlibat menjayakan projek Mercu Zikay setinggi 40 tingkat yang mengandungi hotel empat bintang dan apartmen.
Selepas itu Shazana bertugas sebagai Mechanical Project Engineer di PMT Sdn Bhd Kuala Limpur dari Ogos 2015 hingga Julai 2016 dan antara projek yang melibatkan beliau ialah Projek JSI Tower Kuala Lumpur setinggi 38 tingkat, pembangunan apartmen mewah dan Res280 Kuala Lumpur setinggi 21 tingkat .
Shazana kini adalah ahli Instituton of Mechanical Engineer (IMechE) yang memiliki 111,000 ahli dari 140 negara seluruh dunia.

TERKEMUKA…Hotel Four Season memiliki rangkaian hotel di seluruh dunia.
Shazana juga adalah seorang jurulatih yoga bertauliah dan selain bahasa Malaysia dan Inggeris, beliau mampu bertutur dalam bahasa Itali.
Sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam bidang kejuruteraan, Shazana juga sempat menjadi model freelance selama tiga tahun tiga bulan dari Nov 2010 hingga April 2014.
Beliau pernah menjadi model untuk iklan, malah tempatan, majalah CLEO, majalah fesyen, video korporat dan sebagainya.
Prestasi membanggakan yang diperlihatkan oleh Shazana Shaid membuktikan anak Sabah mampu terbang tinggi di peringkat antarabangsa.