AIRMATA

Karya DR MOHD HANIFF HAJI HASSAN
(Al-Fatihah untuk arwah ayah & emak)

AKU cium pipi emak, malah memeluknya berkali-kali menjadikan emak bungkam seketika. Emak mungkin tidak berapa mengerti nilai mendapat gelaran Dr. setelah mengharungi perit jerih dalam perjuangan yang tidak pernah ada orang lain memaksa, kerana emak tidak pernah menghadiri mana-mana sekolah secara formal.

Emak tidak pandai membaca, katanya dia hanya belajar mengaji dari seorang ustaz yang tiada tuliah di kampung. Pun begitu, emak seorang yang sangat penyayang dengan sifat keibuan yang sangat tinggi membuatkan setiap butir kata yang keluar menjadi sangat berharga, dan tidak dapat dibanding dengan kata-kata seorang professor. Aku lahir dari kesempurnaan tutur kata itu, menjadi titisan nasihat bersama kasih sayang, meresap di setiap salur nadi. Menyatu membentuk diri aku, kini.

Emak masih termangu, mungkin kerana terputus dari ulitan mimpi bertemu arwah ayah yang telah meninggalkan kami beberapa tahun yang lalu. Aku tahu kasih sayang emak terhadap arwah ayah tidak akan pernah pudar, begitu juga dengan kasih sayang arwah ayah terhadap emak, buktinya emak sering menyimpulkan anak-anak lelakinya saling tak tumpah seperti arwah ayah khususnya bila kami membuat kebaikan. Sebutan nama arwah tidak pernah lekang dari bibirnya. Kini, menjadi warisan kepada setiap anak-anak emak. Nilai kasih sayang yang tidak boleh dibanding walau untuk segunung emas.

Waktu itu sudah mendekati jam 1.10 pagi. Suasananya tenang, damai dan sunyi apatahlagi di kampung yang rumahnya terletak agak berjauhan di antara satu sama lain, tiada bunyi bingit deruan kenderaan yang bertali arus tanpa henti. Tidak mengira sama ada siang ataupun malam. Sehingga aku menjadi kehairanan, bilakah masa tidur warga kota metropolitan? Kesunyian yang mendamaikan seumpama ini sangat sesuai untuk seseorang bangun malam mengerjakan tahajud. Munajat kepada Allah yang Maha Esa. Bercakap denganNya, kerana seingat aku Allah SWT terlalu dekat dengan kita, dan aku pernah bertanya dengan Ustaz Dr Nazmi, sedekat mana? Katanya, dengan membuat analogi mudah, dekatnya kita dengan Allah seumpama kulit bawang.

“ Engkau dah sampai Shaffiq, lama emak tunggu sampai tertidur dah emak”
“ Tak apa mak, minta maaf lambat sebab tadi lambat dapat kereta nak balik kampung.”
Jelasku.
“ Maaf juga mengejutkan emak dari tidur”
“ Tak apa Shaffiq, emak tidur-tidur ayam dari tadi tunggu kau”
“ Emak tadi makan apa? Mari mak kita makan, ada beli satay kegemaran emak ni…tadi beli di Satay Kajang Hj. Samuri” aku memang tahu emak suka makan satay. Biarpun sudah hampir jam 2.00 pagi, emak menemaniku makan sambil bercerita-cerita kisah-kisah lama sehingga satu detik aku tersedar rupanya emak hanya makan 3 cucuk satay sahaja.
“ Kenapa emak makan sikit?”
“ Engkau makanlah, emak dah kenyang” kata emak. Aku berhenti sejenak. Melihat tepat di mata emak.

Dalam kesamaran cahaya pelita yang sudah usang, aku melihat kedut wajah emak yang sudah agak ketara. Dalam kesamaran aku melihat ada air yang sedikit bertakung di kelopak mata. Air itu menjadi berkaca-kaca, dari sudut sinaran cahaya pelita, aku makin nampak kejernihan yang memukau.

“Kenapa mak?”
“Emak sedih, sebab arwah ayah tidak dapat melihat kejayaan engkau” dia menjadi sebak, dan aku melihat air mata mula menitis. Spontan, aku memeluk emak dan aku terasa kedutan tangan emak yang sudah uzur memeluk aku sama. Tangan tua itulah yang mendodoikan aku semasa kecil, menghalau nyamuk jika ada yang cuba menghisap darahku. Tangan itu juga yang mendokong aku menunggu kepulangan ayah dari mengambil upah membersihkan sawah, lalu menyuapkan aku sisa roti yang ayah bawa yang sepatutnya untuk mengisi perutnya dari kelaparan setelah sehari suntuk bekerja.” Kami berpelukan. Terasa rindu pelukan emak yang lama tidak dirasai.

“Terima kasih emak, membesarkan Shaffiq dengan penuh kesukaran” aku mengambil kesempatan apabila suasana sudah menjadi agak reda. Emak tidak mampu berkata apa-apa, selain hanya air mata yang menjawabnya. Aku cukup mengerti.

“Kalau emak dengan arwah ayah tidak mendidik Shaffiq dengan sempurna, Shaffiq tidak akan berjaya seperti sekarang” sambungku.
“Terima kasih juga kerana tak pernah putus-putus mendoakan Shaffiq…” Aku teruskan, walaupun dalam tersekat-sekat. Pada masa itu juga, aku terasa tangan emak mula mengusap rambut dan kepala aku. Tangan yang aku rindui, dan ketika itu aku ingin kembali menjadi anak kecil semula untuk merasai pelukan dan belaian emak. Seperti dahulunya, sewaktu aku masih kecil.

Sudah ada 20 nama yang tersenarai untuk mengikuti program Doctorate of Education. Tidaklah sesusah mana mengumpulkan nama, cumanya perlu sedikit kemahiran entrepreneurship bagi tujuan menyakinkan rakan-rakan meneruskan pengajian sesuai dengan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat, dan lebih daripada itu sebagai langkah restructuring semula matlamat kehidupan.

Katanya, Prof Dr. Syazwan berjanji jika terdapat 20 pelajar yang mendaftar, program akan dijalankan di Tawau dan semestinya sesuatu yang amat menggembirakan kerana dapat mengurangkan kos, manakan tidak kerana aku tidak perlu berulang ke Kuala Lumpur. Lalu aku bersungguh-sungguh menjadikannya sebagai kenyataan. Namun, akhirnya aku terpaksa berulang alik juga dari Tawau ke Kuala Lumpur mengikuti pengajianku sehingga tamat kerana ada kaitan dengan dasar dan polisi universiti. Dan, aku pasrah.

‘Kau sepatutnya lebih baik dari kakang..’ Kata-kata abangku yang membahasakan dirinya sebagai kakang bukan sahaja menjadi motivasi tetapi juga sebagai cabaran kepada aku. Kata-katanya itu pada 8 tahun dahulu. Beliau hanya bersekolah di kampung tetapi dapat melanjutkan pelajaran sehingga di tahap PhD. Sementelah, daripada ijazah pertama hingga kedoktoran diselesaikan semuanya di luar negara. Berbanding dengan aku sebagai murid pilihan Yayasan Selangor bersekolah di St Johns Institution, Kuala Lumpur.

Sebuah sekolah pilihan yang tersohor dan menjadi pilihan utama kepada anak orang-orang kenamaan. Betul katanya, monologku. Malu jika aku gagal mengikuti jejak langkahnya. Kalau pun tidak dapat mengatasinya, sekurang-kurangnya aku harus berada di kedudukan yang setara dengannya. Semenjak itu, aku berazam dengan penuh tekad. Biarpun aku terpaksa merangkak. Tidak mengira usia. Tidak mengira masa. Aku mesti mendapatkan title Dr. Aku mesti sampai ke garisan penamat!

Akhirnya aku mendaftar sebagai pelajar doctorate di salah sebuah universiti di Semenanjung Malaysia. Secara sambilan. Jauhnya jarak sehingga menyeberangi Laut China Selatan! Tiada perjalanan darat. Penerbangan terus mengambil masa 2 jam 45 minit. Hanya MAS dan Airasia yang menyediakan perkhidmatan. Aku juga mengambil risiko kerana penerbangan kerap mengharungi cuaca yang tidak baik.

Beberapa kali kapalterbang terbang dalam keadaan yang mencemaskan. Tidak cukup jari tangan untuk menghitung bilangannya. Selain daripada yuran pengajian, hotel, makan dan minum, aku juga terpaksa menanggung kos untuk berulang alik ke Kuala Lumpur. Surau di LCCT kerap menjadi ‘hotel sementara’ kerana terpaksa mengambil penerbangan awal pagi. Ini kerana harga tambang awal pagi jauh lebih murah dibanding masa yang lain. Berbantalkan beg dan berselimut kain pelikat sudah menjadi kebiasaan bagiku.

Kenderaan rutin dari LCCT ke KL Central ialah dengan menaiki bas. Ini kerana harga tiket bas sangat murah, hanya RM10.00 yang kekadang boleh turun menjadi RM8.00 kerana berlaku persaingan dengan syarikat bas yang lain. Pernah juga bas yang dinaiki mengalami kerosakan menyebabkan kelewatan untuk sampai di hotel. Sebaiknya perlu sampai awal agar dapat berehat secukupnya.

Kekadang jam 2.00 pagi baru tiba di hotel jika berlaku kerosakan bas. Pada jam yang begitu lewat, terpaksa juga mencari gerai makan berdekatan yang masih dibuka kerana kelaparan. Keesokan awal pagi perlu ke universiti sebelum jam 8.00 pagi. Paling singkat aku berada di universiti adalah selama dua hari. Sabtu dan Ahad ketika semua orang sedang berehat.

Pernah juga sehingga 9 hari, dan ini hanya akan meningkatkan kos pengajianku kerana bukan sahaja yuran pengajian yang terpaksa ditanggung. Purata menghadiri kelas adalah sekali dalam sebulan. Namun, kadang-kadang 2 atau 3 kali jika ada keperluan dan aku lalui rutin ini selama 5 tahun. Tak perlu mengira kos keseluruhannya, kerana itu sahaja sudah cukup untuk mengempiskan poketku.

Airmata tidak meleleh. Tetapi kerap menitis. Terkadang bekalan elektrik rumah kena potong kerana budget dipindahkan kos pengajianku. Secepatnya, aku akan menggesek credit card untuk menampung buat sementara. Pernah juga berlaku perkara yang sama kepada bekalan air di rumah. Boleh dikira kekerapan aku membawa anak-anak dan keluarga makan di luar.

Boleh dikira jumlah anak-anakku makan McD, Pizza, Big Apple dan juga KFC. Jauh sekali untuk makan di restoran atau hotel yang mewah. Tidak tercatat di dalam diari kehidupanku. Hanya bila aku mendapat kelas-kelas Kursus Dalam Cuti yang berbayar, elaunnya dapat menjadikan manisnya senyuman anakku sama manis seperti anak orang lain. Itupun sekadar sehari dua sahaja dan pada hari yang lain aku meneruskan rutin seperti biasa.

“Encik tidak tukar kereta lain ke?” Tegur pelajarku pada suatu hari kerana ramai rakan-rakanku yang bersilih ganti keretanya, sedangkan aku masih menggunakan kereta lama yang sudah mencecah 15 tahun usianya. Itupun kekadang penghawa dinginnya tidak berfungsi, dan aku terpaksa menurunkan cermin untuk menikmati udara luar.
“Tak apa, jangan risau..saya sayang kereta lama saya kerana sangat berjasa dengan saya” aku menggunakan helah bela diri yang dicadangkan oleh Signmund Freud dalam teori Psikoanalisis untuk mententeramkan diri.

Corak kehidupanku sudah tidak sama seperti orang lain. Kereta mereka bertukar ganti. Model-model terkini menjadi pilihan. Mereka juga mampu menyenaraikan menu makanan yang enak-enak dan lazat yang mereka telah nikmati. Aku belum mampu. Itu saja yang aku mampu untuk memujuk hati ini.

Jauhnya, julat di antara rutin belajar sepenuh masa dengan belajar secara sambilan. Terbayang tentang nikmat belajar bergaji penuh semasa memperolehi biasiswa di peringkat Master suatu masa dahulu. Belajar secara sambilan betul-betul menguji kematangan dan kesabaran. Bebanan tugas di di tempat kerja sudah cukup membebankan bahu ini untuk memikul.

Ditambah lagi dengan bebanan belajar. Kekadang berlaku konflik di tempat bertugas, kerana rakan yang tidak memahami atau mungkin kerana ada sebab-sebab yang lain. Walaupun cuti belajar sudah diluluskan tetapi sering dipanggil untuk kembali ke tempat kerja menjalankan tugas. Hati ini kerap dipujuk agar tidak berlaku sengketa, yang akan lebih memudaratkan suasana. Orang lain hanya melihat dengan mata, tetapi bahu ini jua yang memikulnya. Bahu inilah yang merasai berat dan sukarnya sehingga sukar diungkap dalam kata-kata.

Bahan-bahan pengajianku amat terhad dan sukar diperolehi. Namun, perkhidmatan internet banyak membantu aku. Menerawang di mana-mana untuk mendapatkan bahan pelengkap kajian. Kawan-kawan lain bukan tidak ada untuk menambah bahan sedia ada, tetapi tidak boleh terlampau mengharap. Penat bekerja di sebelah siang ditambah dengan keletihan di waktu malam.

Setiap malam perlu ada kemajuan dalam penulisan kajian, jika tidak mungkin tidak akan selesai. Komputer menjadi teman setia saban malam. Buku rujukan, bahan-bahan yang relevan dan fail-fail bertompok-tompok, dan selalunya menjadi berselerak. Mata juga menjadi kerap berair. Mungkin letih. Mungkin sedih. Bercampur baur. Antara keletihan dan kesenduan. Boleh dikira bilangan jam aku tidur di malam bulan ramadhan. Mengambil fadhilat bulan ramadhan selepas solat tarawih, meneruskan penulisan kajian sehingga makan sahur.

Salakan anjing menjadi lagu rindu walaupun tak pernah aku fahami. Bunyi cengkerik menjadi pelengkap adunan muzik dan kadang kala terdapat bunyi yang tidak dapat dikenalpati sumbernya. Dan semuanya sudah menjadi kebiasaan, bagiku.

Pernah juga aku hampir menyerah kalah. Pembetulan tesis tidak pernah habis. Walau sudah disemak berkali-kali. Walaupun sudah dibetulkan sama. Masih jua ada pembetulan. Kalau begini bila nak siap? Ini kerja gila! Namun, aku pasrah dan memohon agar Allah memberi aku kekuatan. Dengan harapan dan berdoa agar perit jerih ini akan cepat sampai ke penghujungnya. Untuk menikmati kemanisan.

“ Engkau sakit ke Shaffiq?” Suatu hari rakanku, Dr. Hamid menegurku. Sememangnya beberapa hari yang lalu aku tidak berapa sihat. Terasa sangat penat dan letih. Dan aku tidak perlu menjawab soalan itu kerana aku tahu, Dr. Hamid dapat membaca gesture aku. Sementelah, beliau adalah graduan berkelulusan PhD dalam Psikologi.

‘Membuat kajian seumpama perjalanan kehidupan kita. Kita bukan sihat berpanjangan, sebaliknya akan ada masa kita akan jatuh sakit. Jadi, jika sakit kita perlu makan ubat dan berehat. Bila sudah sembuh teruskanlah kehidupan sehingga ke garis penamat’ sambungnya.

‘Congratulation Shaffiq..’ Bait-bait yang diucapkan oleh Prof. Dr. Nur Shaffiqah selaku pengerusi panel penilai, menjabat tanganku sebaik dipanggil masuk semula selepas ‘viva-voce’ tesisku.
“Mulai hari ini, selepas mendapat kelulusan senat, awak boleh menggunakan gelaran Doktor”

Itu sahaja perkataan yang aku dengar, kerana selebihnya aku tidak dapat memberi fokus lagi. Aku tidak ingat, kalau pun diminta untuk mengulangi lagi. Atau kerana aku yang tidak mahu mendengar, kerana tiada perkataan lain yang penting selain itu. Yang aku tahu aku sudah lulus.

Beberapa professor yang menjadi panel turut berjabat tangan denganku. Tahniah! Beban yang selama ini aku galas, yang terasa sangat berat telah hilang dari pikulanku. Perasaanku menjadi terasa amat ringan. Fikiranku menjadi begitu lapang. Tanpa disedari airmata mula tergenang dikelopak, tanpa dipaksa-paksa.

Aku biarkan air mata itu jatuh. Satu persatu. Saat itu, aku tidak malu untuk menitiskan air mata di depan professor- professor yang telah menjadi guruku, tanpa mengenal erti penat telah mengajar dan membimbing sehingga sampai ke saat itu. Aku tidak malu untuk menangis, kerana air mata ini sudah tidak sama ertinya seperti air mata terdahulu yang pernah menitis. Hanya aku yang tahu maknanya secara mendalam.

“Assalamualaikum Mak”
“Wa’alaikumsalam, macam mana..sudah lulus ke?
“Alhamdulillah, terima kasih emak selalu doakan aku. Malam ini aku nak balik kampung jumpa emak, tapi mungkin lambat sikit”
“Syukurlah..kalau arwah ayah masih ada, tentu dia gembira dan bangga” lama juga emak terhenti kata-katanya. Ada terdengar ada esakan dalam tutur tadi. Lama aku menunggu dan akhirnya emak menyambung semula setelah agak tenang.
“ Iyalah..emak tunggu nanti ko balik”

Memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan kehendakNya jua aku dapat menyelesaikan ijazah kedoktoranku. Aku insaf bahawa semakin aku belajar semakin banyak yang aku tidak tahu. Allah hanya memberikan aku sedikit sahaja ilmuNya. Tidak sedikit pun yang luak.

Di dalam kejayaanku terpahat di hati, ibuku yang selalu mendoakan kejayaanku, kesabaran isteri dan anak-anakku, adik beradikku yang sering memberikan sokongan, insan-insan istimewa yang memahami dan senantiasa membantu dan tidak dapat disebut namanya satu persatu. Kesabaran, kecekalan dan ketekalan berteraskan dengan kepercayaan bahawa Allah jualah yang menentukan segalanya. Sebagai hamba kita hanya merancang dan berusaha, namun semuanya adalah kerana izinNya juga.

‘Tuan-tuan dan puan-puan, kita telah mendarat di lapangan terbang Tawau. Anda diminta duduk sehingga isyarat tali pinggang dipadamkan. Sekiranya anda memerlukan sebarang perkhidmatan semasa ketibaan, sila berhubung dengan kakitangan kami. Kami berasa bangga kerana terbang bersama kami, dan diharap kita akan berjumpa lagi di masa yang akan datang…

Aku tersedar. Lamanya aku bermonolog, yang pasti air mata ini pernah jatuh menjadi teman setia kepada perasaan suka duka, perit jerih, keletihan fizikal dan mental, susah senang semuanya tersimpul menjadi satu. Tersimpul mati. Akan aku ingat sampai bila-bila.

DR. MOHD HANIP HAJI HASSAN, merupakan pensyarah kanan dalam bidang Psikologi Kaunseling di Institut Pendidikan Guru, Kampus Tawau, Sabah. Beliau seorang motivator pendidikan yang dikenali di Tawau yang telah menghasilkan banyak kajian yang dimuatkan di jurnal-jurnal penyelidikan. Kebelakangan ini, beliau mula berjinak-jinak dengan menghasilkan buku, sajak dan cerpen. Pengalamannya mula diterjemahkan dalam bentuk penulisan-penulisan.

scroll to top