Pencen

(Selamat Hari Guru : Terima kasih Guru)
Dr Mohd Haniff Haji Hassan

Pasti. Memang aku pasti. Memang tidak salah orang. Melihat gaya dia duduk sememangnya tidak salah lagi.

Cuma cara dia duduk kelihatan bongkok sedikit. Tidak segagah dahulu lagi. Tidak sama seperti dahulu.

Wajahnya juga sudah tampak menua. Kedut-kedut di muka nampak begitu ketara dan menjalar di sana sini menjadi lipatan bak banjaran gunung yang berselirat. Namun, misainya yang dahulunya digeruni oleh sesiapa jua masih selebat dahulu, walaupun sudah banyak yang memutih.

Janggut juga sama warnanya, namun sedikit panjang dan tidak diurus. Rambutnya semakin mengurang. Beberapa bahagian di kepala sudah tidak berambut lagi.

Kelihatannya seperti seorang professor yang banyak ilmu dan berfikir. Segalanya telah banyak berubah, kerana dalam hitunganku mana kami tidak ketemu dua puluh tahun lamanya.

Aku cuba melihat di dalam restoran tradisional itu yang memang terkenal dengan kopi O, roti kaya dan telur separuh masak. Makanan ringkas khususnya untuk orang tua atau lebih tepat yang sudah tidak bekerja lagi.

Tujuannya adalah untuk memastikan sekiranya dia duduk bersama kawan-kawannya tetapi telah beralih meja buat sementara atau pergi ke tandas tetapi akan kembali semula ke mejanya.

Atau mungkin dia sedang menunggu seseorang yang belum muncul lagi sehingga kini. Dia dengan perlahan menghirup kopi yang masih panas. Terbau aroma yang menyegarkan dan dapat mengundang selera.

Kemudian diletakkannya kembali cawan tersebut dengan sisa baki lebih daripada separuh kandungannya. Tidak banyak kopi yang diminum. Dan aku nampak ada dua keping roti bakar yang belum terusik sama sekali.

Turut ada di atas meja sehelai suratkhabar tempatan yang masih baharu dan belum lagi terbuka.

Suasana yang mula menjadi agak bingit dengan kehadiran sekumpulan orang muda separuh umur yang datang memesan makanan dan minuman. Risau sekiranya dia meninggalkan restoran kerana berasa tidak selesa, aku tidak boleh berlengah untuk menemuinya.

Inilah masa yang terbaik untuk aku mendekatinya. Setelah hampir pasti bahawa tidak ada sesiapa yang ditunggu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk mendekatinya.

Aku nekad untuk menegurnya. Biarpun pernah suatu masa dahulu aku berkecil hati dengannya.

Hati ini bukan sahaja pernah luka malahan pernah juga berdarah.

Sememangnya beliau sangat garangnya dan tidak bertolak ansur dengan orang bawahannya.

Baginya, tiada sesiapa yang betul kecuali dirinya. Syukur juga kerana ilmu psikologi yang aku pelajari telah memandu aku untuk menjadi seorang yang berjiwa besar.

Berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Q “Merujuk kepada psikologi, istilah egosentrik digunakan untuk memberi gambaran terhadap seseorang yang menganggap dirinya sentiasa betul pada sepanjang masa tanpa memikiran orang lain.“ Kata Prof. Madya Dr. Suhaimi pada suatu hari di dalam kuliahnya membuatkan pelajar-pelajar bermonolog dan melakukan intra komunikasi di dalam diri masing-masing.

Barang kali melakukan pemeriksaan diri sendiri dengan membuat refleksi sama ada mempunyai ciri seperti apa yang dijelaskan.

“Mereka juga percaya bahawa dirinya merupakan pusat segala kepentingan dan perhatian menyebabkan mereka beranggapan bahawa dirinya adalah lebih penting dibanding dengan orang lain.

Dalam bahasa yang lebih mudah egosentrik ialah sifat mementingkan diri sendiri dan narsisistik yang kelihatannya sebagai seorang yang sombong dan egois.” Tambah Prof. Madya Dr. Suhaimi lagi.

Orang yang berada di hadapanku sekarang merupakan individu sering menanggapi kesalahan kecil itu sebagai sesuatu yang besar. Walaupun sebanyak mana kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang, akan tetap musnah dengan sekelip mata dek kerana kesalahan yang kecil, menggambarkan seolah-olah langsung tidak pernah melakukan kebaikan sama sekali.

Sifatnya sangat bengis dan pemarah. Marahnya bukan marah bertujuan untuk mendidik, walaupun berlatar belakang sebagai seorang pendidik. Amat jauh sekali marah dengan kasih sayang.

Malah seringkali, dia marahnya tidak bertempat. Bila dia marah, di depan sesiapa pun dia akan marah. Tidak pernah memikirkan maruah orang lain. Yang penting dia akan berasa puas. Dahulunya!

Beliau juga mempunyai sikap yang terburu-buru menyebabkan tindakannya tidak tepat. Sering kali sikap tersebut menempelak kembali kepada dirinya sendiri. Tapi sememangnya dia seorang yang tidak pernah berrasa malu.

Pernah suatu ketika beliau mengeluarkan surat amaran dan surat tunjuk sebab sesiapa yang tidak hadir dalam satu mesyuarat tanpa memastikan terlebih dahulu sebab mengapa mereka tidak hadir.

Di dapati hampir kebanyakan daripada mereka sebenarnya telah mendapat arahan untuk menjalankan tugas-tugas luar seperti menghadiri mesyuarat dan kursus, malah ada yang membuat ceramah kerana dijemput oleh agensi dan jabatan luar.

Pun tujuannya ialah untuk membantu menaikkan reputasi institusi ini juga. Turut sama ialah kepada mereka yang menyambung pelajaran dengan mendaftar sebagai pelajar Ijazah, Master dan Phd. pada hari tersebut.

Semuanya diluluskan atau di atas arahannya. Akhirnya beliau akur namun sama sekali tidak meminta maaf atau menarik semula surat amaran tersebut.

Janganlah lagi jika hendak bercerita tentang sekumpulan orang-orang kepercayaannya atau lebih mudah difahami sebagai kroni.

Cepat sangat dia percaya setiap patah perkataan yang didengari daripada mereka tanpa usul periksa. Baginya tidak perlu disiasat lagi kerana orang-orangnya sentiasa dianggap betul. Mereka juga sering mendapat imuniti daripadanya.

Jika ada perkara yang buruk tentang kroninya sememangnya tidak pernah dipercayainya. Biarpun ramai yang menyampaikan perkara sebenar tetapi hakikatnya tidak menimbulkan kesan sama sekali. Bercakaplah dalam mesyuarat. Minitkanlah dalam minit curai. Tidak akan ada apa-apa tindakan.

Pernah berlaku dalam satu ‘exit meeting’ audit MSISO. Hasil audit bagi mereka yang mendapat NC dan OFI diberi amaran yang sangat keras. Marahnya membakar tanpa boleh dipadam.

Tetapi bila disangkal kepada status mereka yang tidak menghantar fail untuk diaudit. Komennya hanyalah sekadar akan ditambahbaikan. Itu sahaja. Mengapa? Kerana kroninyalah yang tidak menghantar fail untuk diaudit.

Itulah sifatnya yang kukenali dahulu. Ketika dia memegang jawatan sebagai Pengetua di sekolah swasta di tempat mulanya aku berkhidmat. Pengalaman pertama aku dalam kerjaya sebagai seorang guru.

Beliau mempunyai kuasa dan menggunakannya sehingga digambarkan seolah-olah tiada had batasnya. Dan, tidak ada siapa yang boleh membetulkannya. Hakikatnya, sememangnya ramai staffnya yang terluka kesan daripada tindak tanduknya.

Namun dengan masa yang berlalu, rasanya luka mereka pun sudah sembuh walaupun masih berparut. Aku melihat raut wajahnya yang semakin menua.

Spontan mengalir perasaan simpati dengan keadaan yang uzur dibanding 20 tahun yang lalu. Lalu, kunekad untuk menegurnya. Takkan tidak ada sekelumit pun kebaikan yang dia pernah lakukan dahulu. Takkan semuanya buruk. Aku cuba mendidik hati.

‘Assalamualaikum Tuan Haji‘ tegurku. Dia memandangku tanpa kerdipan. Sedang cuba mengingat siapa yang menegurnya.
‘Waalaikumsalam…’ balasnya dari bibir yang sedikit bergetar.

‘Siapa ni? Mata saya tidak berapa nampak..maaf ye.’ Aku terkedu dengan keadaannya sekarang. Matanya tidak setajam dahulu. Dahulunya pandangannya begitu tajam sehingga kesalahan kecilpun dapat dilihat.

Matanya akan menjadi merah apabila dia marah sehingga mendatangan ketakutan sesiapa yang memandangnya. Namun, kini merahnya tidak sama lagi. Kalaupun masih merah ialah hanya kerana ada selaput mata yang telah menutup hampir separuh matanya. Selebihnya telah menjadi kekuningan.

Bibirnya yang dahulu tempat keluarnya perkataan yang menyakitkan hati, kini kelihatan sudah terketar-ketar. Intonasi suara yang dikeluarkannya juga kurang jelas. Fizikal bibir sudah tidak berfungsi dengan baik melahirkan perkataan yang sukar untuk difahami.

“Tuan Haji seorang sahaja? Boleh saya duduk dengan Tuan Haji?” Aku minta izin untuk duduk bersamanya. Sengaja aku melambatkan jawapan pertanyaannya. Dia hanya memerhati dengan sedikit lama.

“Apa yaaa..?” Soalnya seolah-olah tidak dapat mendengar. Dahulunya bisikan perlahan pun tidak terlepas dari pendengarannya. Ramai pelajar yang dimarahi kerana bersembang walaupun tidak menganggu perjalanan kuliahnya.

Di samping itu, beberapa staff yang bersembang semasa mesyuarat juga turut terkena sama. Namun, dahulunya telinga yang begitu tajam kini telahpun menumpul. Seakan gigi tua yang semakin goyah, hanya menunggu untuk tanggal pada bila-bila masa.

“ Boleh saya duduk di sini?

‘Oh..ohhhh ok, silakan duduk‘ Jemputnya sambil memandangkan aku. Dia agak terkeliru untuk mengenali aku. Kerutan dahi dan mata yang sekejap membesar dan mengecil berkali-kali membuatkan aku serba salah untuk membiarkan keadaan itu berlaku agak lama.

“Tuan Haji, saya Shaffiq. Dulu saya pernah berkhidmat bersama dengan Tuan Haji sebelum berpindah.’ Aku memperkenalkan diri sambil bersalam dan mencium tangannya. Dia kembali merenung. Agak lama, malah aku berasa dia semakin terseksa dan aku menjadi semakin serba salah.

“Saya yang pernah membantu Tuan Haji membuat kajian tentang kanak-kanak tanpa dokumen di Pulau Omadal, Sabah suatu masa dahulu. Kajian tersebut telah diangkat untuk dijadikan asas pembentukan dasar oleh UNICEF tentang mereka di pelbagai negara. Melalui kajian tersebut, Tuan Haji telah dianugerahi sebagai Tokoh Guru pada tahun tersebut.” Jelasku lagi untuk membantu agar mudah bagi beliau mengingati aku.

“Oh, cikgu Shaffiq. Iya iya..baharu saya ingat.” Ingatan kembali pulih, walaupun telah memakan masa yang agak lama. Ingatan yang tajam dan kebolehan mengingat maklumat dalam jangkamasa panjang sangat sinonim dengannya, dahulu.

Masa itu, beliau bukan sahaja fasih serta petah bercakap tetapi juga mempunyai daya ingatan yang sunguh mengkagumkan. Banyak perkara dan fakta yang diingatinya walau telah berlaku agak lama.

‘Mana kawan-kawan Tuan Haji?” Aku bertanya. Lama dia mendiamkan diri, merenung sisa kopi yang sudah semakin menyejuk. Aku menanti dengan penuh sabar jawapan yang akan keluar dari mulutnya. Agak lama menyebabkan aku rasa bersalah kerana melontarkan soalan tersebut.

Silapkah aku bertanya? Bisikku di dalam hati.

‘Manalah ada kawan-kawan lagi, kan saya dah pencen.’ Katanya dengan dengan nada yang sedikit sayu.

“Saya dah tak ada jawatan lagi, siapalah yang memerlukan saya lagi? Tidak ada pentingnya lagi saya kepada mereka. Jadi siapalah yang nak tengok saya lagi..’ Tambahnya lagi.

Agak lama dia terdiam. Mukanya menjadi berkerut sedikit. Kerutan menjadi semakin banyak. Dan, aku mula melihat sudah ada genangan air mata di kelopak. Memek mukanya semakin mengerut dan menjadi tambahan kedutan wajah tuanya.

Dari raut wajahnya aku dapat membaca banyak perkara yang tersirat yang tidak perlu diberi pencerahan.

Dan, aku pun tidak berhajat hendak merungkai satu persatu.

“Kalau saya masih bekerja, tentu ramai yang mengerumuni saya.” Nadanya menjadi semakin sayu.

“Tidak apalah Tuan Haji, sabarlah” aku cuba memutuskan percakapan agar tidak menjadikannya bertambah sedih. Serentak dengan itu aku mengusap-ngusap bahunya.

Tanpa berkata-kata. Dia tunduk agak lama. Tiba-tiba mengangkat muka dan memandang aku.

“Maafkan saya kerana tidak dapat menilai cikgu Shaffiq dengan sebaik-baiknya dahulu.” Dia cuba membuka kisah silam yang telah lama aku tutup. Aku juga tidak sudi lagi untuk mengingatinya semula.
“Tidak apa Tuan Haji, masa sudah berlalu. Saya sudah pun melupakannya.

Lama sudah”

“Iya, cikgu Shaffiq marah kan..merajuk lalu mohon kerja di tempat lain” katanya dengan tersekat-sekat seakan ada kekesalan yang tidak dapat dimaafkan. Tidak selancar semasa beliau memberi syarahan, dahulunya.

Tiba-tiba pula hatiku pula menjadi sayu. Kenangan lama mula berputar ligat semula di dalam fikiran. Ramainya kawan-kawannya dahulu yang rapat dengannya, terutama yang mengejar pangkat dan kedudukan.

Berkawan dengan seorang pegawai berpangkat besar yang boleh menjanjikan sesuatu yang pasti. Memang menjadi impian kepada semua orang.

Namun, bukanlah aku jenis orangnya seperti mereka. Akulah orang yang pernah kecewa sewaktu di bawah kepimpinannya. Inilah orangnya Tuan Haji. Yang tidak pernah dapat penilaian adil dahulu kerana aku tidak serapat mereka yang lain.

Hanya melakukan tugas seikhlasnya. Aku juga tidak pandai mereka cerita semata-mata untuk menyedapkan pendengaran Tuan Haji. Hari ini aku berjaya mencapai kejayaan pun hasil dari kekecewaan yang terhasil waktu itu.

Lalu aku berhijrah tetapi bangkit semula kerana aku tidak hebat dari sudut pandang dan kaca matanya ketika itu. Tidak pernah pun diberi pengiktirafan walaupun aku gigih memberi perkhidmatan malah kerap menaikkan nama sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa beberapa kali.

“Lupakanlah Tuan Haji, saya sudah lama maafkan’

“Tidak cikgu Shaffiq, saya betul-betul rasa bersalah. Tidak tahu bagaimana hendak hilangkan perasaan ini, walaupun Shaffiq telah memaafkan. Sehingga kini saya sendiripun tidak dapat memaafkan diri saya sendiri”

Sememangnya, sebagai manusia biasa aku juga kecewa. Sangat kecewa!

Namun kekecewaan ini aku jadikan sebagai cabaran. Aku tidak hebat di matanya tetapi mungkin aku boleh jadi lebih hebat di kaca mata orang lain.

Lihatlah nanti. Aku juga menganggap ini ujian Allah. Aku melakukan tugas dengan lebih kuat lagi, tetapi bukan ditempat yang sama. Dan seperti telahanku, beliau tidak pernah menghalang pemergianku malah tidak berasa sedih sedikitpun. Seakan kehadiran aku tidak dirasai dan ketiadaan yang tidak tidak dirindui. Namun aku bersyukur kerana rupanya aku telah mengambil keputusan yang tepat. Aku menyambung pengajianku dan ditawarkan berkhidmat di salah sebuah universiti tempatan yang tersohor sebaik tamat pengajian.

‘Terima kasih Tuan Haji, kerana pernah menjadi ketua saya suatu masa dahulu. Saya tidak sehebat Tuan Haji dan rakan-rakan Tuan Haji, buktinya cikgu tidak pernah memberikan apa-apa pengiktirafan dahulu.

Malah saya juga pernah dimarah walau bukannya kesalahan saya. Tetapi saya dah lupakan segalanya, saya dah maafkan. Saya juga memohon maaf di atas apa jua kesalahan yang pernah saya lakukan.”

Ingin aku berkata begitu tetapi aku simpan di dalam hati untuk tidak melukai hatinya. Ayat ini aku simpan sebaik-baiknya dan menjadi parut yang dalam. Sedalam mana? Hanya aku sendiri yang tahu.

Aku memohon izin untuk meninggalkannya setelah berbual agak panjang sementelah ingin menyelesaikan beberapa tugas penting. Namun sebelum meninggalkannya, aku tidak lupa untuk bersalam.

Sambil aku mencium tangan tanda hormat. Hormat sebagai seorang tua dan bekas majikanku.

Sebelum aku meninggalkannya, aku membayar harga minumannya. Sempat aku sisipkan beberapa helai note unggu di dalam poketnya. Walau dia menolak berkali-kali.

Aku ingin dia merasai hasil perkhidmatanku di tempat lain. Aku bertegas agar dia tidak memulangkan semula. Dia hanya memandang aku dengan sinar mata yang berkaca.

“Tuan Haji, ini kad nama saya. Jika ada apa-apa Tuan Haji perlu yang saya boleh bantu, tolong hubungi saya” Aku menghulurkan kad nama dengan niat untuk membantunya sekiranya dia memerlukan apa-apa bantuan. Dia mengambil dan merenung dalam-dalam.

“Professor Datuk Dr. Mohd Shaffiq, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Kejuruteraan Malaysia” dia membaca dengan perlahan tetapi masih boleh aku dengari.

Dia tunduk melihat lantai tanpa apa-apa makna. Kosong.

Dr Mohd Haniff Hj Hassan, adalah pensyarah kanan dalam bidang Psikologi Kaunseling di Institut Pendidikan Guru, Kampus Tawau. Beliau seorang motivator pendidikan yang dikenali di Tawau yang telah menghasilkan banyak kajian yang dimuatkan di jurnal-jurnal penyelidikan. Kebelakangan ini, beliau mula berjinak-jinak dengan menghasilkan buku, sajak dan cerpen. Pengalamannya mula diterjemahkan dalam bentuk penulisan-penulisan.

scroll to top