Sebelum Perintah Berakhir

Oleh RAJA YUSOF ARIFFIN

“AH! Aku tak boleh terima perkara ni! Tak boleh. Tak pernah berlaku macam ni!”

Muka Khalil merah. Jelas sekali dia tidak puas hati.

“Sabar, Lil. Sabar. Aku pun tak suka perkara macam ni. Tapi, nak buat macam mana. Dah terpaksa. Tak ada pilihan.”

Salman cuba menenangkan rakannya itu. Semua mata di situ memandang mereka. Warung kampung itu penuh dengan pelanggan.

“Belum pernah masjid kampung kita tak boleh solat jemaah. Tak boleh solat Jumaat. Gila apa ni? Larang solat jemaah, solat Jumaat!”

Salman membiarkan rakannya itu membebel. Dia tahu Khalil terlalu marah. Biarkan. Betul juga. Ada masjid, tetapi ditutup. Mana boleh begitu. Mengarut sungguh!

Sedih juga. Tetapi, kalau sekali fikir memanglah begitu. Jika difikirkan sekali lagi, baru nampak manfaatnya.

“Nak buat macam mana, Lil. Dah begitu arahan kerajaan. Kita kena patuh. Kalau tak, makin teruk jadinya.”

“Alah… kerajaan sengaja buat macam tu. Tak suka orang berjemaah, kan? Apalah kau ni! Sokong semua kerajaan buat!”

Salman menggeleng-geleng. Dia terasa sukar pula untuk menenangkan Khalil.

“Aku sokong mana yang baik, Lil.”

WALAU bagaimanapun, Salman terasa mahu ketawa juga melihat Khalil naik angin. Masjid dibuka atau tidak, fikirnya, bukan masalah bagi Khalil. Ke surau pun dia tidak pernah, apatah lagi ke masjid. Dia tidak pernah solat. – (GAMBAR HIASAN)

Ekoran wabak Covid-19 yang semakin mengancam, kerajaan terpaksa mengambil beberapa langkah yang dianggap wajar untuk membendungnya. Bukan sahaja membendungnya, tetapi cuba membasmi terus sampai bila-bila.

Memang menyusahkan rakyat, tetapi perlu dan terpaksa. Satu daripadanya ialah melarang buat sementara waktu semua aktiviti melibatkan orang ramai. Itu termasuklah aktiviti keagamaan di masjid, dan surau di seluruh negara.

Memang mengejutkan. Juga menghairankan kerana pertama kali berlaku dalam sejarah umat Islam di Malaysia!

Semua orang heboh. Ramai orang kecoh. Kelakarnya, antara yang merungut itu termasuklah yang tidak pernah pun ke masjid atau surau. Hanya suka ‘menyibuk’. Konon mahu tunjuk baik dan Islamik. Prihatin. Cakna.

Sebelum ini ada pihak dan penyokongnya mengatakan masjid dan surau tidak boleh melaungkan azan. Sekarang, masih boleh azan, tetapi dilarang solat berjemaah!

Walau bagaimanapun, Salman terasa mahu ketawa juga melihat Khalil naik angin. Masjid dibuka atau tidak, fikirnya, bukan masalah bagi Khalil. Ke surau pun dia tidak pernah, apatah lagi ke masjid. Dia tidak pernah solat.

Ada orang Islam yang hanya solat seminggu sekali. Ada yang solat dua kali setahun. Itu pun sunat Aidilfitri, dan Adiladha!

Salman walaupun rakan rapat Khalil, tetapi tidak seperti rakannya itu. Dia pernah ke masjid dan surau. Cuma, solatnya tidak tetap, tidak kerap. Seperti bergantung pada ‘angin’nya sahaja. Solat kalau rajin! Biasanya Maghrib kalau berada di rumah.

Mengapa Khalil yang ‘lebih sudu dari kuah’? Sepatutnya dia berkecuali sahaja. Bertenang. Duduk diam-diam. Salman yang sepatutnya lebih prihatin. Memang dunia sekarang banyak berlaku perkara terbalik, dan aneh. Dunia akhir zaman!

Namun demikian, Khalil tidak peduli pun hal itu. Dia memang suka bising, suka kecoh. Heboh memanjang dalam sesuatu perkara. Salman sudah masak dengan perangai Khalil. Pun begitu, dia hairan mengapa Khalil terlalu marah? Mustahil dia pengamal ajaran sesat, kata Salman dalam hati.

Bukan ajaran sesat atau terpesongkah kalau diri sendiri tidak solat, tetapi mahu membela nasib masjid dan surau? Salman menggaru kepalanya yang tidak gatal. Khalil cakna lebih atau tidak kena pada tempatnya. Salman tersengih sendirian, sambil memikirkan apa lagi yang harus dibuat terhadap sahabatnya itu.

“Apa tengok-tengok? Tak betulkah apa aku cakap? Kau orang pun tak boleh solat jemaah kan, kan?”

Salman terkejut. Khalil mengherdik pelanggan-pelanggan warung pula. Semakin melarat anginnya meskipun dia tahu ada antara mereka itu memang tidak solat juga.

“Eh apa ni? Apa hal kau tarik tangan aku?”

WALAU bagaimanapun, Khalil tambah mengamuk. Dia seperti tidak lagi menghiraukan isu solat berjemaah. Sebenarnya, dia ‘gempak’ sahaja. Tidak boleh bebas ke sana ke sini yang menyusahkannya. Itu sebenarnya yang sangat Khalil runsingkan. Bukan kerana tidak boleh solat berjemaah di masjid. – (GAMBAR HIASAN)

Salman kemudian tiba-tiba menyeret Khalil. Khalil terkejut dan cuba menepis tangan kawannya itu.

“Jom baliklah, Lil! Tak payahlah nak mengamuk di sini!”

Semua mata di warung itu terus memerhatikan gelagat mereka.

“Jom, jom!”

“Isy… isy! Tak payahlah tarik tangan aku!”

Mahu tidak mahu, Khalil terpaksa mengikut kata Salman.

Beberapa hari kemudian, kerajaan mengumumkan arahan baharu. Perintah kawalan pergerakan namanya! Disebut ringkas menjadi PKP. Bukan perintah berkurung, kerana masih ada beberapa kelonggaran.

Walau bagaimanapun, Khalil tambah mengamuk. Dia seperti tidak lagi menghiraukan isu solat berjemaah. Sebenarnya, dia ‘gempak’ sahaja. Tidak boleh bebas ke sana ke sini yang menyusahkannya. Itu sebenarnya yang sangat Khalil runsingkan. Bukan kerana tidak boleh solat berjemaah di masjid.

“Apa ni? Tak boleh keluar rumah pula! Gilalah kalau duduk dalam rumah sepanjang hari tak keluar-keluar. Gila, gila!”

“Hmm… kau jangan silap, Lil. Bukan tak boleh keluar langsung. Keluar kalau perlu saja. Lepas tu, duduk rumah semula. Cubalah faham sikit. Tahu nak mengamuk saja.”

Salman sekali lagi cuba menenangkan rakannya itu.

“Ah! Susahlah macam ni! Kau pun tahu aku kan suka lepak di warung. Ronda sana-sini. Ni kena duduk berkurung dalam rumah, apa hal?”

Kadang-kadang Salman tidak tahu sama ada dia mahu ketawa atau sedih melihat gelagat Khalil. Dia cuba mengingati semula bagaimana boleh berkawan baik dengan Khalil. Bukan dalam semua perkara mereka sebulu. Tidak sentiasa mereka sehati sejiwa.

Yang sama antara Salman dengan Khalil ialah berusia 30 tahun, merokok, serta tiada pekerjaan, dan pendapatan tetap. Yang berbeza pula ialah Salman duda tiada anak sudah empat tahun, sementara Khalil pernah putus tunang sekali.

Barangkali juga kerana Salman dan Khalil sama-sama suka bersantai di warung. Kalau ada kerja yang memberi upah, mereka sama-sama lakukan. Mereka akan pastikan sesuai dilakukan berdua, dengan upah yang munasabah. Mereka mula bekerjasama apabila Salman sibuk mencari rakan sekerja, lalu terjumpa Khalil beberapa lama dahulu.

“Isy… runsing macam ni, runsing! Apa pun tak boleh buat!”

“Eloklah macam tu…. APTB apa pula? Kan kau boleh rehat. Ala rilekslah. Jangan marah-marah.”

Khalil dan Salman bertingkah lagi. Mujur hanya seketika.

Bukan hanya larangan solat berjemaah. Makan ‘berjemaah’ di restoran atau warung turut tidak dibenarkan. Makanan hanya boleh dibeli dan dibawa pulang menjamu selera di rumah masing-masing. Mereka yang gemar makan di restoran atau warung rasa terseksa.

Kelakarnya, ada yang bergurau mengatakan semasa kerajaan sebelum ini, pelanggan tidak boleh merokok di premis makan, tetapi ketika kerajaan sekarang, bukan sahaja merokok dilarang, makan minum pun tidak boleh! Barangkali kata-kata itu untuk menghiburkan hati, dan membunuh kebosanan.

Mengikut peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) PKP, orang ramai masih boleh keluar ke tempat-tempat yang penting untuk mendapatkan barangan keperluan. Walaupun peraturan longgar, tetapi hanya ketua bagi setiap keluarga yang dibenarkan itu. Ertinya, hanya seorang sahaja. Biasanya lelaki – suami atau ayah. Ataupun abang jika tiada ayah.

“Rileks kau kata? Kalau diikutkan memanglah nak rileks, nak senang hati. Tapi, macam mana kita nak kerja? Dah berkurung mana ada kerja lagi! Mana boleh kerja lagi….”

Jika sekali difikirkan memang benar apa yang Khalil runguti, dan bimbangi itu. Salman pun risau juga kerana mereka tiada gaji bulanan. Tidak bekerja makan gaji yang boleh cuti bergaji.

Tetapi, Salman yakin itu hanya sementara. Setelah wabak berakhir dan tiada lagi PKP, masalah akan selesai.

Namun demikian, Khalil tidak yakin begitu. Dia bertentangan lagi dengan Salman. Wabak atau penyakit tidak dapat ditentukan bila akan berakhir sebagaimana perlawanan sukan yang ada tempoh masa tertentu. Entah bila akan selesai. Berakhir. Justeru, memanglah dia risau.

“Macam mana aku nak jumpa kau? Lepak, lepak; minum-minum macam selalu. Payahlah macam ni!”

“Alah… kan ada telefon bimbit. Call ajelah aku. Whatsapp pun boleh. Kau nak buat video call pun boleh kalau rindu sangat. Hahahaha!”

Salman cuba bergurau. Namun begitu, Khalil tidak ketawa pun. Lebih teruk lagi, senyum pun tidak.

(GAMBAR HIASAN)

Walau bagaimanapun, Khalil tidak perlu terlalu runsing. Lama-kelamaan bukan sahaja pelanggan hanya boleh membeli sahaja. Mereka tidak boleh membeli langsung kerana semua kedai makan dan warung sudah ditutup. Pemiliknya tidak lagi berniaga kerana mereka kerugian. Pelanggan lebih suka duduk di kedai makan dan warung. Setelah dilarang, lebih baik mereka memasak sendiri di rumah. Memasa di rumah kerana tidak boleh ke mana-mana pun. Jadi, Khalil tidak perlu ralat apa-apa.

Sebenarnya, kerajaan tidak memerintahkan PKP begitu sahaja. Kesukaran yang rakyat pasti hadapi memang difahami. Justeru, skim bantuan untuk rakyat yang dinamakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) turut diberikan. Mereka yang memang menerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH) secara automatik menerima BPN.

Ikut peraturan dan logik, Salman dan Khalil layak menerima BSH/BPN jika mereka mendaftar. Sudah tentulah mereka mendaftar. Siapa yang tidak mahu duit? Apatah lagi yang tiada pendapatan tetap. Ya, memang Salman dan Khalil lulus menerima BSH/BPN. Bolehlah bernafas sedikit sementara menunggu wabak berakhir.

Masa terus berlalu. Khalil kian resah. Dia bingung kerana PKP bersambung-sambung. Berterusan telah sekian lama. Selepas dua minggu satu fasa, disambung lagi dua minggu. Wabak tidak juga dapat dibasmi seratus-peratus. Ada masanya kes menurun, kemudian menaik semula. Kemudian berkurangan. Bertambah pula tidak lama selepas itu. Seperti tidak menjanjikan penamatan PKP juga.

Salman tahu perkara ini saling berkaitan. Walaupun dia tidak bersekolah tinggi, tetapi tahu PKP tidak akan ditamatkan sekiranya kes masih ada, atau semakin buruk. Kes pula akan wujud semula atau bertambah kalau PKP ditamatkan.

Pada masa inilah kerjasama rakyat amat diperlukan dalam menyokong pelaksanaan PKP. Namun begitu, apa masalah kebanyakan orang kampungnya, dan di tempat lain? Sudah pelbagai cara dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menyekat pelanggaran PKP. Tidak berkesan. Adakah orang ramai mahukan perintah kawalan pergerakan diperketat atau ringkasnya PKPD pula? Ataupun seterusnya mahu perintah berkurung penuh atau darurat jika keadaan semakin parah?

Salman menggeleng-geleng kepala sendirian memikirkan hal itu. Dia cuba bertenang menghadapi situasi. Salman juga hampa kerana dia antara rakyat yang mematuhi PKP. Dia tidak mahu PKPD kerana tahu akan lebih sukar, walaupun hidup bujang.

Masakan tidak kecewa. Salman terasa seperti menjadi mangsa kerana kepatuhannya. Dia terasa tidak mendapat keadilan. Sedangkan dia yang lebih sabar boleh tertekan, apatah lagi Khalil.

‘Apa hal kita ni, Man?’

‘Apa hal apa tu? Duit dah habis ke? Jimat-jimatlah sikit…’ Salman membalas teks whatsapp Khalil. Dia seperti berpura-pura tidak memahami. Sengaja mahu mengusik rakannya itu.

TIBA-TIBA kedengaran bunyi azan. Ah, perkara biasa. Tetapi, ada yang luar biasa. Suara muazinnya. Lain sekali, tetapi merdu juga. Ramai tertanya-tanya.- (GABAR HIASAN)

‘Hmmm. Duit memang satu masalah. Berkurung dalam rumah pun masalah juga. Sampai bila kita kena macam ni, Man? Rimas, tau? Rimas! Aku dah tak boleh tahan lagi ni!’

Salman menggeleng-geleng lagi sambil membaca teks Khalil.

‘Eh kau nak buat apa, Lil? Jangan Lil. Jangan buat bukan-bukan. Nanti kena tahan masuk penjara kau nanti.’

Dari semasa ke semasa, memang pihak berkuasa menambah tahap pengawalan. Dari lembut kepada sedikit tegas, kemudian lebih keras sehingga terus menahan reman mereka yang melanggar PKP, dan didakwa di mahkamah. Seterusnya dipenjarakan. Denda sejumlah wang yang banyak sebelum itu tidak lagi diberikan tumpuan kerana ia masih dipandang remeh.

Justeru, wajarlah Salman risau. Memang di kampung mereka agak longgar kawalan, tetapi mungkin Khalil akan pergi ke bandar. Mencari ruang yang lebih luas. Jika ditahan, dia terpaksa membayar denda. Salman tidak fikir Khalil akan mampu membayarnya. Kalau denda tidak boleh dibayar, apa padahnya? Sementelah kini terus didakwa di mahkamah, dan jika sabit kesalahan, mendekam di penjara! Semakin payahlah kerana bulan puasa pula bakal tiba.

Oh Khalil!

Pagi itu, Ramadan masuk hari kesembilan, Salman tidak menerima apa-apa teks daripada Khalil seperti biasa. Dia hairan. Turut risau apa yang telah terjadi kepada Khalil. Sudah hari ke berapa PKP pun Salman tidak ingat.

Salman hairan tidak dapat mencari kawan baiknya itu.

“Tahulah PKP. Tapi, takkan tak bangun-bangun tidur lagi… tak keluar langsung? Bangun sahur atau tidak, ni? Telefon pun tak jawab! Ke mana Si Khalil ni….”

Salman agak kesal kerana Khalil tidak mahu bersabar. Bulan puasa mengajar umat Islam bersabar. Tetapi, Khalil?

‘Khalil ni tak tahukah lusa kerajaan dah longgarkan PKP,’ kata Salman dalam hati.

Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan data-data yang dikumpul, dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.

Mengikut arahan Perdana Menteri, PKP dilonggarkan dan ia disebut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula. PKPB membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial dibuka semula. PKPB ini juga disebut PKP kelima oleh Menteri Kanan Keselamatan, merangkap Menteri Pertahanan.

Perdana Menteri menjelaskan, sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai, dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan Covid-19 yang masih dilarang.

PKPD juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi. Sektor ekonomi dibuka semula secara terkawal. Kegiatan sukan yang ada sentuhan fizikal seperti bola sepak dilarang.

‘Restoran pun dah boleh buka semula. Apa yang Khalil nak risaukan? Dia tahu atau tak tahu ni,’ kata Salman sendrian lagi.

Tidak lama kemudian Salman mendapat tahu orang kampung gempar kehilangan Khalil. Dia tiada di rumahnya. Khalil tinggal dengan ibunya. Jadi, ibunya yang memberitahu. Cemas dan risau kerana pagi-pagi lagi anaknya sudah tiada di rumah. Basikalnya pun tiada di bawah rumah.

Sukar juga mahu mencari orang hilang dalam keadaan PKP. Lagipun, setiap orang menyangka semua orang tinggal diam di rumah sahaja.

Dari pagi hingga ke tengah hari, Khalil belum dapat ditemui. Laporan polis walau bagaimanapun tidak boleh dibuat kerana tempoh belum 24 jam.

“Eh, kau tahu norma baharu? Datang masjid dan azan ni norma baharu kau?” Salman mahu ketawa, tetapi ditahankannya.- (GAMBAR HIASAN)

Pihak pengendali masjid memang akan ke masjid untuk melaungkan azan zuhur.

Namun demikian, entah kenapa hari itu mereka terlewat ke masjid. Mungkin kerana PKP sudah terlalu lama hingga jadi melekakan. Ataupun penat dan terlajak tidur ketika berehat lama selepas subuh. Ketika itu sudah masuk waktu zuhur.

Tiba-tiba kedengaran bunyi azan. Ah, perkara biasa. Tetapi, ada yang luar biasa. Suara muazinnya. Lain sekali, tetapi merdu juga. Ramai tertanya-tanya.

‘Bilal mana pula tu? Boleh tahan suara….’ Salman terpinga-pinga.

Akhirnya, ramai orang kampung menuju ke masjid walaupun masih tidak boleh solat berjemaah.

Salman kemudian kelam-kabut mahu ke masjid setelah terdengar satu nama disebut-sebut.

“Hah? Khalil?” Salman tidak menyangka langsung dengan apa yang dilihatnya.

“Kenapa? Tak boleh? Aku pun nak ikut norma baharu…,” kata Khalil kepada Salman selepas selesai mengazan.

“Eh, kau tahu norma baharu? Datang masjid dan azan ni norma baharu kau?” Salman mahu ketawa, tetapi ditahankannya.

 

*****Raja Yusof Ariffin yang nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin (lahir 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak) ini menulis sajak, pantun, cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita (sejak 1982) dalam akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air. Ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), rakan Tajulmedia Melayu, dan pernah menganggotai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Antara bukunya ialah Sketsa Bas Mini (antologi perseorangan drama remaja/DBP/1993, Bangsal di Tepi Pantai (novel kanak-kanak/Vital Star/1997), serta Dengki Membawa Rugi, Misteri Sebatang Jalan, Misteri Tangan di Pantai, Pengajaran Mimpi, Rahsia Sepucuk Pistol, dan Sengketa Tak ke Mana (novel kanak-kanak/Penerbit Pan Earth Sdn Bhd/1998).

scroll to top