Liek Hou Sedia Atasi Cabaran Faktor Usia

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou menyedari faktor usia boleh menjadi halangan terbesar untuk beliau terus melakar kejayaan di persada dunia, terutamanya dalam melaksanakan misi mempertahankan emas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Liek Hou, 33, percaya persaingan yang lebih getir bakal dihadapinya dalam tempoh tiga tahun mendatang, ekoran faktor perbezaan umur dengan pemain lain yang jauh lebih muda.

Walaupun tidak menerima tentangan sengit di Paralimpik Tokyo,  Liek Hou tidak pernah memandang rendah kemampuan lawan, malah menganggap mereka mempunyai keupayaan untuk mengalahkannya jika beliau sedikit terleka.

“Lawan saya semua adalah pencabar kerana saya lebih tua daripada mereka, lebih tua mungkin enam hingga lapan tahun, jadi saya kena sentiasa peka dan kekalkan tahap seperti ini.

“Saya tidak boleh ketinggalan jauh daripada tahap prestasi mereka kerana mereka semua itu sangat muda, 23 hingga 25 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Atlet dan Jurulatih Badminton Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, kelmarin.

Pada majlis yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini, beliau menerima insentif berjumlah RM10,000 daripada Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).

Liek Hou meraih pingat emas kelas SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan pemain berusia 22 tahun yang juga pilihan pertama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17 dan 21-15 dalam temasya itu.

Sementara itu beliau yang juga juara dunia sebanyak enam kali, turut berhasrat untuk mencipta sejarah sebagai pemain badminton para yang mempunyai rekod tanpa kalah terpanjang.

Kemenangan di Tokyo menjadikan rekod tanpa kalah beliau kepada 35 perlawanan sejak Oktober 2019.

“Harap-harap saya dapat terus kekalkan lagi rekod tanpa kalah ini. Kalau boleh saya nak cipta sejarah baharu, kalau boleh,” katanya ketika menjawab soalan pemberita adakah beliau menyasarkan rekod 100 perlawanan tanpa kalah.-Bernama

scroll to top