Subkhiddin Gesa Pemain, Pegawai Tunjuk Imej Dan Sikap Baik Di Padang

SUBKHIDDIN MOHD SALLEH

KUALA LUMPUR: Tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Subkhiddin Mohd Salleh menasihatkan pemain, terutamanya pemain senior supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mengundang hukuman tatatertib.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata setiap pemain mempunyai tanggungjawab untuk menampilkan imej dan sikap terpuji di padang dan sewajarnya melaksanakan ia dengan penuh keazaman.

Jelasnya tanggungjawab itu perlu dipikul dengan baik apatah lagi mengambil kira kedudukan pemain senior yang dianggap sebagai idola dan berperanan menjadi inspirasi kepada generasi muda di negara ini.

“Kalau benda itu baik, dia (pemain muda) akan ikut, kalau benda itu buruk pun dia akan ikut. Apa yang mereka (senior) buat, budak-budak akan ikut, jadi kesannya kalau kita bertindak kasar, ia akan menjadi ikutan kepada pemain yang menjadikan mereka idola iaitu pemain-pemain di sekolah dan liga di kampung.

“Jadi sebagai pemain, pamerkan perkara positif sebab semua orang boleh nampak apa kita lakukan di padang dan sebagai pemain kita jangan tunggu dikenakan hukuman, kita mesti ada satu keazaman tak nak buat benda yang boleh jadi contoh tidak baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Baru-baru ini tiga pegawai dan tiga pemain Sarawak United FC dikenakan hukuman tatatertib oleh FAM susulan tindakan agresif pada aksi Liga Premier menentang Negeri Sembilan FC 10 Sept lepas.

Antara yang dikenakan hukuman adalah ketua jurulatih pasukan, E. Elavarasan dan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee, 34, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, selepas masing-masing berdepan hukuman penggantungan dan denda mencecah RM10,000.

Pada masa sama Subkhiddin yang juga bekas pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kebangsaan berkata nasihat berkelakuan baik turut ditujukan kepada semua pegawai pasukan yang disifatkannya sebagai seorang ‘bapa’ yang mempunyai tugas mendidik anak-anak ke arah kebaikan.

Menurutnya seorang pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan tidak sepatutnya mempertahankan anak buah yang melakukan kesalahan, sebaliknya perlu bersikap profesional dengan memberi teguran supaya kesalahan sama tidak berulang.

“Paling saya kecewa ada pegawai mengatakan kesalahan itu tidak patut diletakkan kepada pemainnya semata-mata kerana pengadil yang menyebabkan mereka melakukan kesalahan berkenaan.

“Kita tak boleh jadikan orang lain sebagai sebab untuk melakukan atau menutup kesalahan yang kita buat. Kita jangan pula jadi batu api. Kalau sebut pasal pegawai…pegawai sepatutnya seorang lebih bijak dan lebih berpengalaman dalam industri yang diceburi,” jelasnya.

Sementara itu Subkhiddin berpendapat sikap agresif dan tidak mempunyai semangat kesukanan yang ditunjukkan di padang perlu ditangani dengan tegas sebelum menjadi lebih parah sambil menegaskan hukuman yang dijatuhkan bertujuan untuk mendidik.

Beliau berkata tindakan sedemikian boleh menjadi barah yang merosakkan imej bola sepak tempatan jika tidak ditangani dengan serius.-Bernama.

scroll to top