Beregu adik beradik Stoeva sasar kekalkan prestasi baik sepanjang musim

KUALA LUMPUR: Pasangan adik-beradik Bulgaria, Gabriela dan Stefani Stoeva berharap untuk meneruskan permulaan baik musim ini dalam Terbuka Malaysia 2023, yang kini berlangsung di Axiata Arena, bagi meraih kelayakan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut di Paris tahun depan.

Beregu wanita nombor 14 dunia itu, yang memulakan kempen dengan mengejutkan beregu tuan rumah Pearly Tan-M.Thinaah dalam kejohanan sulung musim ini semalam, mahu kekal positif sepanjang musim untuk memperoleh kedudukan ranking yang kukuh.

“Jangan ada pemikiran negatif dan kerana saya mudah marah, sasarannya ialah untuk menikmati perlawanan, menyokong adik saya dan bermain dengan baik. Matlamat kami ialah menentang lawan, bukan sesama sendiri.

“Paris 2024 adalah sasaran kami, namun kami tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri. Kami akan berjuang dalam setiap perlawanan, tak boleh cakap kami akan menang setiap perlawanan, tapi pastinya akan berjuang habis-habisan,” kata Gabriela ketika kejohanan.

Semalam, adik-beradik Stoeva itu menundukkan beregu nombor enam dunia Pearly-Thinaah 21-19, 21-14 dan akan berdepan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dari India pada pusingan kedua esok.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Stefani berkata mereka terkejut dengan kejayaan menundukkan pasangan Malaysia itu yang memecah kelompok 10 beregu wanita terbaik dunia musim lepas selain meraih emas Sukan Komanwel.

Pada pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah menewaskan adik-beradik Stoeva 21-19, 21-12 dalam final Terbuka Switzerland 2021 sekali gus merangkul kejuaraan.-BERNAMA.

scroll to top