SMK Tandek juara MSSD KM selepas menanti 17 tahun

SEMEKTA JUARA 2022, Cikgu Hanie (kanan) menerima piala johan keseluruhan.

KUDAT:  Selepas 17 tahun menanti, akhirnya  Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek Kota Marudu berjaya merangkul gelaran juara  Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu kali ke 48 yang  diadakan di Kompleks Sukan Daerah Kudat  baru-baru ini.

Pengetua SMK Tandek Kota Marudu,  Hanie Kumil berkata cita-cita untuk melonjakkan nama SMK Tandek dalam arena sukan tercapai selepas 17 tahun menanti. Kali terakhir SMK Tandek muncul juara ialah tahun 2005.

Kontijen olahraga SMK Tandek terdiri daripada 69 orang atlet berjaya menumpaskan tujuh buah sekolah lain yang turut sama mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

SMK Tandek Kota Marudu berbangga dengan pencapaian luar biasa apabila berhasil mengutip 32 pingat emas, 1 perak dan 14 gangsa sekaligus memahatkan sejarah dan senyuman dengan membawa balik piala kejohanan sebagai bukti keazaman  atlet dalam bidang sukan yang dianggotai.

Naib johan disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bandau dan tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu II.

Lebih membanggakan apabila adik Vakery Jainol dari SMK Tandek  dinobatkan sebagai Olahragawan lelaki bawah 15 tahun dengan pencapaian kutipan empat pingat emas dalam acara lempar cakera, lompat kijang, lompat jauh serta 4 x 100 meter dan satu pingat gangsa dalam acara 4 x 400 meter.

Sementara itu adik Rann Jeply dari SMK Tandek dinobatkan sebagai Olahragawan lelaki bawah 18 tahun dengan pencapaian tiga emas dalam acara 100 meter, 200 meter serta 4 x 400 meter.

Manakala adik Shervia Raycher dari SMK Kota Marudu II dinobatkan sebagai Olahragawati perempuan bawah 15 tahun dengan kejayaan mengutip dua pingat emas, dalam acara 400 meter dan 800 meter, manakala gelaran Olahragawati perempuan bawah 18 tahun dimenangi oleh adik Sharifah Nur Nawra Sharen dari SMK Bandau dengan pencapaian emapt pingat emas melalui acara 400 meter, 800 meter 1,500 meter dan 4 x 400 meter.

GAMBAR KENANGAN…Hanie (depan empat dari kiri) mengabadikan gambar kenangan bersama kontijen olahraga SMK Tandek Kota Marudu yang menjadi Juara MSSD Kota Marudu kali ke-48.

MSSD Kota Marudu kali ke 48 ini juga melibatkan atlet dari sekolah rendah yang mewakili Zon 1, Zon 2, Zon 3 dan Zon 4 . Zon 4 dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi sekolah rendah.

Justeru itu, dengan rendah diri saya menzahirkan perasaan amat bangga dan sangat gembira dengan pencapaian para atlet dalam jagaan saya bersama 20 orang jurulatih yang juga warga pendidik SMK Tandek sendiri, kata Cikgu Hanie.

Hadir sama, Penolong Kanan Pentadbiran , Cikgu Dayang Khursiah, Penolong Kanan Kokurikulum  Cikgu Vanessa Yalam Satoh, Ketua Kontijen olahraga SMK Tandek Herdy Bailun dan Doktor Hatnim Duari.

scroll to top